Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Satu serangan udara oleh Israel Defense Forces (IDF) dilaporkan berlaku berhampiran kedudukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang bertugas di bawah misi pengaman United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) di selatan Lebanon awal pagi semalam
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejadian itu berlaku pada Jumaat kira-kira jam 2.35 pagi waktu tempatan apabila satu serangan udara dilaporkan berlaku berhampiran Pos Kawalan MALBATT 850-13 pada jarak anggaran antara 100 hingga 200 meter dari penempatan pasukan berkenaan.
“Serangan tersebut dipercayai menyasarkan sebuah jambatan yang melintasi Sungai Litani di kawasan operasi UNIFIL.
“Serangan susulan dilaporkan berlaku pada jam 3.02 pagi yang mengakibatkan kerosakan terhadap beberapa fasiliti serta penginapan anggota di kawasan Pos Kawalan tersebut,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Beliau berkata, ketika kejadian seorang pegawai bersama lapan anggota lain-lain pangkat MALBATT 850-13 yang berada di Pos Kawalan berkenaan telah diarahkan oleh Tactical Operations Centre (TOC) MALBATT untuk berundur sebagai langkah keselamatan.
Katanya, pasukan tersebut kemudian bergerak bersama 12 anggota Angkatan Tentera Lubnan ke lokasi selamat dan tiba dengan selamat pada jam 4.12 pagi waktu tempatan.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan membabitkan anggota MALBATT mahupun anggota Angkatan Tentera Lubnan dan semua persenjataan serta peralatan yang dibawa berada dalam keadaan selamat.
“Pemeriksaan kesihatan turut dijalankan oleh pegawai perubatan bagi memastikan semua anggota berada dalam keadaan baik dan kekal pada tahap kesiapsiagaan tinggi,” katanya.
Mohamed Khaled menegaskan bahawa keselamatan anggota Angkatan Tentera Malaysia yang melaksanakan misi pengaman di luar negara sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.
“Kementerian melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau perkembangan situasi di kawasan operasi dengan teliti serta bekerjasama rapat dengan pihak UNIFIL dan rakan pasukan pengaman lain bagi memastikan keselamatan anggota sentiasa terpelihara,”katanya.
IMedikel TV






