Home Hiburan SATU SYAWAL BUKA TIRAI KEBANGKITAN THE FABULOUS CATS

SATU SYAWAL BUKA TIRAI KEBANGKITAN THE FABULOUS CATS

107
0

KUALA LUMPUR: Setelah hampir sedekad menyepi, kumpulan hip hop dan R&B popular era 2000-an, The Fabulous Cats, kembali merencana perjalanan seni dengan mempertaruhkan single raya berjudul Satu Syawal sebagai pembuka tirai kebangkitan mereka.

Memetik laporan Berita Harian, kemunculan semula kumpulan yang dibarisi anggota asal Cat Farish, Adeep Nahar dan Datin Alyah itu bukan sekadar nostalgia, sebaliknya menjadi permulaan kepada beberapa perancangan baharu yang sedang dirangka.

Menepis tanggapan pelancaran lagu berkenaan didorong sindrom takut ketinggalan (FOMO) berikutan lambakan lagu raya setiap tahun, Cat Farish menegaskan karya itu dihasilkan atas kepuasan berkarya, bukan untuk bersaing dengan mana-mana pihak.

Menurut penyanyi rap dan komposer itu, dia sebenarnya sudah lama menghasilkan lagu raya sejak awal 2000-an, namun kebanyakannya tidak mendapat perhatian meluas.

“Setiap tahun sebenarnya saya menghasilkan lagu raya, cuma tidak begitu popular. Lagu Satu Syawal pula sudah lama berada dalam simpanan dan tiba-tiba saya rasa mahu melancarkannya.

“Kami buat bukan untuk bersaing dengan sesiapa, tetapi keinginan itu datang secara spontan,” katanya pada majlis pelancaran single raya Satu Syawal di ibu kota, kelmarin.

Cat berkata, Satu Syawal sebenarnya karya lama yang dirakamkan ketika sesi terakhirnya bersama barisan pemuzik iaitu Allahyarham Lok U, Allahyarham Kelly dan Allahyarham Aji.

Katanya, lagu itu pada asalnya bukan lagu raya, sebaliknya berkisarkan tentang kehilangan dan pemergian insan tersayang dengan judul asal Satu Dua Tiga.

“Lirik asal menyentuh realiti kehidupan manusia yang sering leka mengejar kerjaya hingga mengabaikan orang tersayang,” katanya.

Sementara itu, Adeep Nahar berkata penceritaan lagu asal diolah semula bagi menyesuaikan mesejnya dengan suasana Aidilfitri.

“Kadang-kadang kita sibuk mencari kebahagiaan di luar, sedangkan kebahagiaan sebenar ada di depan mata iaitu keluarga. Jadi liriknya disesuaikan menjadi lagu raya untuk menterjemahkan rasa sedih dan kesedaran itu,” katanya.

Mengulas penyatuan semula kumpulan itu, Alyah berkata segalanya bermula secara tidak dirancang selepas mereka digandingkan dalam sebuah acara pada penghujung tahun lalu.

“Apabila berkolaborasi dalam persembahan itu, keserasian dan magis masih kuat. Saya cadangkan kepada Cat supaya menghidupkan semula The Fabulous Cats.

“Pada awalnya kami merancang melancarkan single selepas raya, tetapi semuanya berlaku dengan pantas sehingga terhasilnya Satu Syawal,” katanya.

Adeep pula menyifatkan penyatuan semula itu sebagai rezeki tidak dijangka memandangkan sebelum ini mereka sukar mencari vokalis wanita kerana bekas anggota lain mempunyai komitmen masing-masing.

“Ramai tidak tahu, selepas Elly keluar, Alyah adalah vokalis wanita yang membawa The Fabulous Cats menembusi pasaran luar,” katanya.

Menurut Cat, kemunculan Satu Syawal hanyalah permulaan kepada beberapa perancangan lain termasuk merakamkan semula lagu hit kumpulan itu dengan sentuhan vokal Alyah.

“Kami akan masuk studio untuk merakamkan semula lagu-lagu hit lama yang pernah dinyanyikan Wangi dan Farhana ke versi Datin Alyah,” katanya.

Selain itu, kumpulan berkenaan turut merancang mengadakan showcase berskala kecil sekitar 1,000 penonton pada separuh kedua tahun ini.

“Kami mahu tampil dengan konsep visual dan emosi yang kuat supaya persembahan itu meninggalkan impak kepada penonton,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here