Home Sukan ARSENAL BUKAN PASUKAN TERBAIK EPL – OWEN

ARSENAL BUKAN PASUKAN TERBAIK EPL – OWEN

LONDON: Legenda Liverpool, Michael Owen menyifatkan bekas kelabnya itu masih pasukan terbaik dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun prestasi mereka musim ini merudum, malah menegaskan Arsenal belum mampu menandingi tahap yang dipamerkan The Reds musim lalu.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, skuad kendalian Arne Slot ketika ini menghuni tangga keenam liga dan ketinggalan 19 mata di belakang Arsenal yang dibimbing Mikel Arteta dalam usaha mempertahankan kejuaraan EPL yang dimenangi pada musim 2024-25.

Bagaimanapun, Owen yang membuat hampir 300 penampilan bersama Liverpool antara 1996 hingga 2004 percaya pasukan itu masih sukar ditandingi sekiranya beraksi pada tahap terbaik.

“Pada pandangan saya, mereka masih pasukan terbaik dalam Liga Perdana Inggeris

“Orang mungkin akan ketawa dan berkata, ‘mereka di tangga keenam liga’. Namun musim lalu mereka mendominasi saingan liga, cuma sekarang mereka tidak bermain dengan baik.

“Jika setiap pasukan mempamerkan prestasi terbaik mereka dan kita bandingkan, saya tetap berpendapat Liverpool adalah pasukan terbaik,” katanya ketika tampil dalam program Wayne Rooney Show di BBC.

Bekas penyerang England itu turut mengakui amat kecewa melihat kemerosotan prestasi Liverpool musim ini, lebih-lebih lagi selepas kelab itu menambah beberapa pemain berkualiti seperti Alexander Isak, Hugo Ekitike dan Florian Wirtz ke dalam skuad yang pernah muncul juara liga.

“Sukar untuk dipercayai mereka menjadi lebih lemah sekarang. Tetapi saya fikir ia hanya soal masa, mungkin musim depan kita akan melihat mereka kembali berada pada tahap terbaik,” katanya.

Owen dalam masa sama menjangkakan Arsenal berpeluang menamatkan musim ini sebagai juara liga, namun menegaskan kualiti pasukan itu masih belum setanding Liverpool musim lalu.

“Saya fikir Arsenal akan memenangi liga. Tetapi jangan kata mereka sama hebat atau hampir menyamai Liverpool musim lalu.

“Liverpool sebenarnya memiliki kemampuan itu, cuma mereka tidak melakukannya secara konsisten,” katanya. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here