Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
PEKAN: Seramai 21 anggota Bomba Komuniti Orang Asli FERT Enggang (Pekan) Sdn Bhd terbabit menyertai
operasi memadam kebakaran kawasan paya gambut Hutan Simpan (HS) Pekan, di sini.
Ketua operasi, Ahmad Aizuddin Arman, berkata pihaknya mengambil masa kira-kira 10 hari untuk memadam kebakaran dengan menggunakan kaedah semburan terus ke punca api dalam tanah.

Katanya, tugas memadam api hutan paya gambut lebih sukar dan mencabar buat anggota yang berhadapan risiko jerlus dalam bara api ketika bergerak dalam kawasan kebakaran. Asap juga turut menjadi ancaman ketika operasi yang hanya dilakukan waktu siang sahaja.
Menurutnya, kejadian kebakaran Hutan Simpan Pekan kali ini membabitkan keluasan lebih 80 hektar yang berlarutan kira-kira dua minggu, kemusnahan turut membabitkan kawasan projek petak tanaman semula pokok hutan.
“Bomba Komuniti Enggang FERT Enggang kini seramai 24 anggota, mereka terdiri daripada golongan belia Orang Asli beberapa kampung Orang Asli di daerah ini. Penubuhan pasukan berkenaan hanya untuk memadam kebakaran hutan paya gambut di daerah ini.
“Sepanjang tahun ini pasukan berkenaan telah melakukan operasi memadam kebakaran sebanyak 21 hari termasuk 10 hari operasi di Hutan Simpan Pekan,” katanya, dihubungi di sini semalam.

Katanya semangat dan kesungguhan anggota Bomba Komuniti FERT Enggang berada pada tahap memuaskan, kekuatan mental dan fizikal yang ada pada mereka membolehkan mereka bertugas dalam keadaan cuaca panas.
Ahmad Aizuddin berkata, enjin digunakan untuk menyedut air, dua saluran digunakan untuk menyembur air pada bara api yang terdapat dalam tanah paya gambut. Api mudah merebak apabila angin kencang berlaku.
“Bukan mudah untuk memadam kebakaran kawasan paya gambut. Daerah ini, Kuantan dan Rompin memiliki kawasan paya gambut yang luas.
“Setiap kali kebakaran berlaku pihaknya dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang berganding bahu menjalankan operasi bersepadu memadam kebakaran,” katanya.
Bagi Ghani Mat, minat mendalam mendorong dia menganggotai pasukan Bomba Komuniti FERT Enggang sejak lebih dua tahun lalu, banyak cabarang dan ujian yang terpaksa dilalui setiap kali diarahkan bertugas.
“Sebagai ketua pasukan dia perlu tampil dengan penuh semangat berusaha memadam kebakaran mengikut arahan dan langkah keselamatan yang disediakan.
“Latihan yang disertai sebelum ini menjadi panduan sepanjang operasi memadam kebakaran, cabaran operasi memadam kebakaran Hutan Simpan Pekan kali ini apabila bertugas dalam keadaan berjerebu,” katanya.
IMedikel TV






