Home Buletin Semasa TOK WAN SENTIASA HARGAI PERANAN PENGAMAL MEDIA DI PAHANG

TOK WAN SENTIASA HARGAI PERANAN PENGAMAL MEDIA DI PAHANG

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Cadangan serta teguran membina yang dilontar golongan pengamal media tidak pernah dipinggirkan.

Demikian kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Malam Media Darul Makmur 2026 di Bayu Weddings and Events, di sini, semalam.

Katanya pandangan media menjadi ukuran bagi memperkukuhkan lagi pentadbiran serta memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.

“Pandangan daripada pelbagai pihak, termasuk media, penting kerana terdapat perkara yang mungkin tidak diketahui secara menyeluruh oleh pihak kerajaan,” katanya.

Katanya, maklum balas yang membawa kebaikan kepada negeri dan rakyat akan dipertimbangkan demi penambahbaikan pentadbiran.

“Selaku ketua kerajaan saya sentiasa mengalu-alukan sekiranya ada pandangan, cadangan daripada mana-mana pihak termasuk media.

“Saya boleh gunakan pandangan yang difikirkan membawa kebaikan untuk negeri dan rakyat,” katanya.

Bertemakan ‘Hawaii’ lebih 60 pengamal media termasuk pempengaruh hadir pada majlis berkenaan.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal dan Pengarah Unit Komunikasi Strategik (UKS), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Azrinizam Ibrahim.

Wan Rosdy berkata, teguran serta isu yang dibangkitkan media merupakan perkara lumrah dalam usaha memastikan pentadbiran negeri terus ditambah baik.

Beliau turut menghargai peranan pengamal media yang membantu menyampaikan maklumat kepada rakyat, selain menyumbang kepada peningkatan imej dan nama baik kerajaan Pahang.

“Yang penting 80 hingga 90 peratus yang dilaporkan media adalah berita yang baik dan benar untuk negeri ini, saya mengucapkan syabas dan tahniah.

“Kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan media diharap dapat terus kekal sampai bila-bila dalam suasana yang harmoni membentuk kebaikan kedua belah pihak,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here