Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Jabatan Perikanan Negeri Pahang melabuhkan sebanyak lapan unit tukun tiruan jenis ‘Kuboid Juvenil’ sebagai penghalang Pukat Tunda di perairan Kempadang, di sini kelmarin.
Projek berkenaan dibawah peruntukan Ecological Fiscal Transfer (EFT) kerajaan Pahang tahun ini berjumlah RM280,000.

Pengarah Perikanan Negeri Pahang, Roslan Abu Hasan, berkata setiap tukun mencapai berat kira-kira 18 tan dan mampu menjadi menghalang pencerobohan vesel nelayan pukat tunda daripada menangkap ikan di kawasan terbabit.
Menurutnya, tukun yang dilabuhkan turut dapat memulihkan kawasan habitat marin, menambah kawasan pembiakan ikan, meningkatkan stok perikanan selain membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan tempatan.
“Kawasan tukun turut mampu menjadi lokasi aktiviti memancing dikalangan nelayan tempatan termasuk pelancong. Aktiviti membawa pemancing turut mampu menjadi sumber pendapatan tambahan kepada nelayan.
“Hampir setiap tahun program melabuhkan tukun tiruan dilakukan di negeri ini terutama di daerah ini, Pekan dan Rompin. Pada Ogos lalu sebanyak 20 unit tukun tiruan jenis ‘Kuboid Juvenil’ dilabuhkan di perairan Taman Laut Pulau Seri Buat, Rompin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis melabuhkan tukun tiruan di perairan Kempadang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Seri
Shafik Fauzan Sharif.
Kajian teknikal kesesuaian tapak melabuh tukun telah dilaksanakan oleh Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) bagi memastikan setiap tukun dilabuhkan di kawasan yang sesuai dan stabil dari segi struktur dasar laut.
Untuk rekod sejak 2007 hingga kini sebanyak 279 unit tukun tiruan dilabuhkan daerah ini, Pekan dan Rompin. Sebanyak 120 unit tukun dilabuhkan sekitar perairan daerah ini.
IMedikel TV






