INDIAN WELLS: Rentak kemenangan salah seorang bakal terhenti apabila pemain nombor satu dunia, Carlos Alcaraz bertemu pemain Rusia, Daniil Medvedev bagi merebut tiket ke final Masters Indian Wells.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Alcaraz yang belum tewas dalam 16 perlawanan sejak awal musim 2026 berada dalam prestasi luar biasa selepas menjuarai Terbuka Australia sekali gus muncul pemain termuda melengkapkan karier Grand Slam pada usia 22 tahun.
Pemain Sepanyol itu turut menambah gelaran di Terbuka Qatar dan kini memiliki rekod sempurna 16-0 musim ini selepas empat kemenangan di Indian Wells.
Medvedev pula tiba dengan keyakinan tinggi walaupun kini menghuni ranking ke-11 dunia selepas musim 2025 yang tidak konsisten.
Bekas juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) itu bangkit dengan memenangi gelaran di Antarabangsa Brisbane dan Kejohanan Tenis Dubai, selain membawa rekod lapan kemenangan berturut-turut ke separuh akhir.
Alcaraz mempunyai rekod baik di Indian Wells apabila menewaskan Medvedev di final edisi 2023 dan 2024.
Medvedev berkata, permukaan gelanggang yang kini sedikit lebih laju mungkin memberi kelebihan kepadanya, namun dia sedar cabaran besar menantinya.
“Saya rasa gelanggang sedikit lebih laju berbanding ketika saya menentangnya sebelum ini, jadi ini peluang baik untuk saya mempamerkan tenis terbaik.
“Tetapi dia lawan paling sukar sekarang. Dia dan Jannik Sinner, mungkin boleh diperdebatkan siapa paling sukar,” katanya.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir, pemain nombor dua dunia Sinner akan menentang pemain Jerman, Alexander Zverev.
Sinner yang turut mara ke separuh akhir tanpa kehilangan satu set mengakui dia bersedia menghadapi permainan agresif Zverev.
“Perlawanan seperti ini memang saya latih setiap hari,” kata pemain Itali itu.
Zverev yang sebelum ini tewas kepada Alcaraz di separuh akhir Terbuka Australia tampil meyakinkan di Indian Wells dengan menghasilkan lebih 100 pukulan kemenangan sepanjang kejohanan.
Walaupun berdepan suhu panas mencecah pertengahan hingga hujung 30 darjah Celsius hujung minggu ini, Sinner yakin mampu menyesuaikan diri selepas melakukan latihan intensif dalam keadaan panas.
“Ia sangat panas minggu sebelum kejohanan, jadi kami menjalani sesi latihan panjang untuk membiasakan badan,” katanya. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






