BEIJING: Seorang lelaki Cina berusia 32 tahun yang dimasukkan ke hospital baru-baru ini akibat sakit perut, terkejut apabila mendapati termometer merkuri yang ditelannya 20 tahun yang lalu masih berada di dalam badannya.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, lelaki itu, yang bernama Wang, dari Wenzhou di wilayah Zhejiang, tenggara China, mendapatkan rawatan di cawangan Longgang, Hospital Gabungan Pertama Universiti Perubatan Wenzhou.
Imbasan mendedahkan objek asing di duodenumnya (bahagian pertama usus kecil vertebrata, yang disyaki oleh doktor sebagai termometer merkuri.
Oleh kerana hujung termometer menekan terus ke dinding usus, ia menimbulkan risiko perforasi dan pendarahan dalaman yang teruk.
Wang mendedahkan bahawa dia secara tidak sengaja menelan termometer itu pada usia 12 tahun, tetapi terlalu takut untuk memberitahu ibu bapanya.
Pada masa itu, ibu bapanya juga sibuk dengan kerja, dan memandangkan dia tidak mengalami sebarang gejala, kejadian itu akhirnya dilupakan.
Pakar bedah mengeluarkan objek itu hanya dalam 20 minit.
Pembedahan itu sangat teliti kerana termometer berada dalam badan untuk tempoh lama dan terletak berhampiran dengan saluran hempedu Wang, yang menimbulkan risiko yang ketara merosakkan dinding usus.
Termometer yang diambil masih utuh tetapi tanda ukurannya sudah pudar.
Pakar dari pusat endoskopi hospital berkata, orang yang menelan objek asing harus berhenti makan dan minum dengan segera, meminimumkan menelan dan bercakap dan mendapatkan rawatan perubatan segera.
Menurut Wenzhou Daily Newspaper Group, lebih daripada satu juta orang di China mendapatkan rawatan perubatan setiap tahun selepas secara tidak sengaja menelan objek asing, dengan kanak-kanak menyumbang lebih 60 peratus kes dan warga emas kira-kira peratus.
Tulang ikan, tulang ayam, bateri, magnet dan gigi palsu adalah antara objek yang paling biasa.-Agensi, HMetro Online-
IMedikel TV






