Home Buletin Semasa DVS PANTAU KETAT IMPORT TERNAKAN SUSULAN WABAK ANTHRAX DI THAILAND

DVS PANTAU KETAT IMPORT TERNAKAN SUSULAN WABAK ANTHRAX DI THAILAND

236
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memandang serius laporan berhubung wabak penyakit anthrax di Thailand yang telah meragut nyawa seorang mangsa, seperti disahkan oleh Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) negara itu pada 1 Mei lalu.

Menurut kenyataan Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM), mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan anthrax selepas terlibat dalam aktiviti penyembelihan lembu dan memakan daging mentah di Daerah Don Tan, Wilayah Mukdahan, timur laut Thailand, kawasan yang bersempadan dengan Republik Demokratik Rakyat Lao.

“Penyakit anthrax disebabkan bakteria Bacillus anthracis dan tergolong sebagai penyakit zoonotik yang boleh menjangkiti haiwan serta manusia. Ia boleh membawa maut serta menyebabkan kadar kematian yang tinggi dalam kalangan haiwan ternakan,”menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut DVS, antara tanda klinikal penyakit itu pada ternakan termasuklah kematian mengejut, demam tinggi, lesu, bengkak di kawasan jangkitan seperti leher, serta pendarahan dari hidung, mulut, atau dubur.

“Para penternak juga diminta segera melaporkan sebarang kes mencurigakan kepada pihak jabatan.

“Malaysia sudah diisytiharkan bebas daripada penyakit anthrax sejak kes terakhir yang dilaporkan pada tahun 1976 kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH). Sehingga kini, tiada sebarang kes dikesan di negara ini,”tambah kenyataan itu.

Bagaimanapun, DVS menegaskan bahawa penyakit anthrax masih aktif di banyak negara dan insiden terbaru di Thailand menuntut langkah berjaga-jaga yang berterusan.

“Bagi memastikan keselamatan makanan dan kesihatan awam, DVS telah meminta jaminan rasmi daripada kerajaan Thailand bahawa tiada haiwan atau produk haiwan dari kawasan berisiko tinggi dieksport ke Malaysia. Selain itu, Malaysia turut meminta laporan terkini berkaitan langkah kawalan serta pelan kontingensi anthrax di negara jiran itu.

“Malaysia diketahui mengimport lembu dan kerbau hidup dari Thailand, dan kesemua ternakan yang memasuki negara ini perlu melalui pemeriksaan veterinar ketat di pintu masuk sebelum dibenarkan masuk,”katanya.

DVS menyeru semua penternak dan pengimport untuk kekal berwaspada dan bekerjasama dalam memastikan penyakit berbahaya ini tidak menular ke dalam negara.

Untuk maklumat lanjut atau pelaporan kes, orang awam boleh menghubungi Jabatan Perkhidmatan Veterinar melalui laman web rasmi di www.dvs.gov.my atau talian 03-8870 2000.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here