Home Hiburan MISI EJEN ALI KEMBALI

MISI EJEN ALI KEMBALI

FILEM animasi aksi tempatan yang dinanti-nantikan, Ejen Ali The Movie 2, bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 22 Mei ini.

Memetik laporan Harian Metro, sekuel kali ini mengisahkan pengembaraan epik Ejen Ali, wira muda yang menawan hati jutaan peminat menerusi siri televisyen dan filem pertamanya.

Menjelang tayangan perdananya, pastinya peminat mengimbau detik-detik penting dalam perjalanan luar biasa Ejen Ali.

Seorang pelajar bernama Ali yang secara tidak sengaja terbabit dalam dunia perisikan, menjadi ejen muda agensi rahsia MATA yang berjuang mempertahankan Cyberaya, bandar futuristik penuh rahsia dan ancaman.Sejak diperkenalkan pada 2016, Ejen Ali berkembang menjadi fenomena dengan tiga musim siri animasi dan sebuah filem sulung yang ditayangkan pada 2019.

Kisah ini bermula apabila Ali secara tidak sengaja mengaktifkan IRIS iatu alat perisikan berteknologi tinggi milik MATA ketika dalam perjalanan ke sekolah.

Dibantu oleh Ejen Bakar dan Ejen Alicia, Ali berdepan ancaman penjahat berdendam, Uno.

Dalam musim kedua, Ali melangkah ke Akademi MATA untuk menjalani latihan bersama ejen muda lain. Di sinilah nilai persahabatan dan kerjasama diuji apabila kumpulan penjahat Numeros kembali menggugat keselamatan MATA.

Filem pertamanya pula menyaksikan konflik dalaman Ali apabila kewujudan IRIS Neo menggugat peranannya sebagai pengendali tunggal IRIS. Ketegangan memuncak apabila individu misteri bernama Niki mendedahkan rahsia Pinggiran Cyberaya, memaksa Ali membuat pilihan antara kesetiaan terhadap MATA atau memperjuangkan nasib golongan yang tersisih.

Musim ketiga pula memperlihatkan usaha Ali untuk memulihkan kepercayaan agensi selepas dihukum akibat tindakannya bersama Niki.

Dia menyertai pertandingan Arena MATA yang penuh cabaran, tanpa menyedari pertandingan itu menentukan pengendali IRIS baharu.

Pertarungan kali ini menjadi lebih peribadi apabila Ali mendapati ibunya, Aliya, adalah pencipta asal IRIS dan pada masa sama perlu berdepan dengan ancaman baharu daripada Cinco dan sekutunya.

Misi baharu bakal bermula. Ejen Ali The Movie 2 sedia menghangatkan layar perak sekali lagi.

Treler rasmi boleh ditonton di YouTube, dan peminat dipelawa untuk menyertai kempen media sosial dengan tanda pagar rasmi: #EjenAliTheMovie2 #EATM2 #EjenAli #SatriaBangkit. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here