LONDON: Setiausaha Luar Britain, David Lammy, mengecam kebuluran di Gaza sebagai ‘kejutan moral’ dan ‘malapetaka buatan manusia’ selepas ia disahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, katanya, pengesahan kebuluran di Bandar Gaza dan kawasan sekitarnya adalah sesuatu yang amat mengerikan dan sebenarnya boleh dielakkan.
“Keengganan Israel untuk membenarkan bantuan mencukupi masuk ke Gaza telah menyebabkan malapetaka buatan manusia ini. Ini satu kejutan moral,” katanya dalam satu kenyataan.
PBB pada Jumaat mengisytiharkan kebuluran di Gaza, dengan pakar memberi amaran bahawa 500,000 orang berdepan kebuluran serius.
Penyelaras bantuan kecemasan PBB, Tom Fletcher, menyalahkan Israel dengan menuduhnya melakukan ‘halangan sistematik’ terhadap penghantaran bantuan ke wilayah Palestin yang musnah akibat perang itu.
Susulan itu, Lammy menggesa Israel membenarkan penghantaran makanan, bekalan perubatan, bahan api dan semua bentuk bantuan tanpa halangan.
“Israel mesti segera bertindak untuk menghentikan keadaan daripada menjadi lebih buruk dengan membenarkan makanan, bekalan perubatan, bahan api dan semua jenis bantuan sampai tanpa halangan kepada mereka yang amat memerlukannya.
“Israel juga mesti membenarkan PBB dan NGO antarabangsa melaksanakan kerja-kerja menyelamat tanpa sebarang halangan. Bantuan mesti sampai kepada mereka yang memerlukan dengan segera dan tanpa berlengah,” katanya.
Lammy berkata, United Kingdom (UK) tetap menentang rancangan Israel untuk merampas Bandar Gaza.
Beliau turut mengulangi gesaan supaya gencatan senjata segera dilaksanakan, sambil memberi amaran operasi ketenteraan Israel di Bandaraya Gaza – pusat kebuluran – hanya akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan serta membahayakan nyawa tawanan yang ditahan Hamas.
“Britain sekali lagi mengecam tindakan ketenteraan ini,” katanya, sambil mendesak Israel menghentikan rancangan menawan Bandaraya Gaza. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






