Home Buletin Semasa KELANTAN RAIKAN KEHADIRAN ARTIS, HIBURAN SELARI DENGAN ISLAM – EXCO

KELANTAN RAIKAN KEHADIRAN ARTIS, HIBURAN SELARI DENGAN ISLAM – EXCO

297
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

RANTAU PANJANG: Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa meraikan kehadiran semua pihak termasuk golongan artis serta penganjuran program hiburan, asalkan ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Memetik laporan UPKN, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud, berkata dasar Membangun Bersama Islam yang diterapkan sejak 1990 tidak pernah menolak hiburan, malah kerajaan negeri pernah menganjurkan konsert besar membabitkan artis popular tanah air.

“Pada zaman Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz, konsert Mawi pernah dianjurkan di stadium pada 2005, diikuti Datuk M. Nasir dan Datuk Amy Search. Ini bukti kerajaan negeri tiada masalah dengan hiburan selagi ia selari dengan Islam,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Bicara Selebriti Siri Ketiga anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri (UPKN) di Arked MARA Rantau Panjang, semalam.

Menurut Mohd Asri, hiburan termasuk nyanyian dibenarkan dalam Islam sekiranya tidak melalaikan serta tidak menjejaskan akidah.

“Masa Nabi SAW berhijrah ke Madinah, Baginda bertanya kepada Saidatina Aisyah RA sama ada ada persembahan kerana Baginda tahu orang Ansar sukakan hiburan berbentuk nyanyian. Hiburan boleh mengubat hati, menghilangkan keresahan dan menyatukan masyarakat,” katanya.

Tambahnya, Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Kelantan turut diperkemas pada Januari 2025 bagi memastikan setiap penganjuran lebih terarah serta menepati kehendak agama.

Program berkenaan menampilkan Iwan Shahman dan Ijan Medicine sebagai panel, selain persembahan daripada artis tempatan termasuk Poyi Gasi, Fendi Kenali, Din Manja dan kumpulan dikir barat Tiga Beradik.

Sebelum ini, siri pertama Bicara Selebriti menampilkan Sabri Yunus bersama isterinya Ardini Angeline Tan di Kota Bharu, manakala siri kedua di Tanah Merah membariskan pasangan Syed Aiman dan Linda Rafar.

Hadir sama Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Zailah Mohd Yusof, Ahli Parlimen Tumpat Datuk Mumtaz Md Nawi, hli Dewan Negeri (AND) Gual Periok Kamaruzaman Mohamad serta Pengarah UPKN, Razuan Awang Hamat.

IMedikel TV

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here