KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer Asfan Shah memilih imej berambut pendek sekali gus membuang gaya rambut cornrow selepas ditegur oleh gurunya dalam jemaah tabligh.
Memetik laporan Harian Metro, Asfan, 41, berkata teguran secara lembut dan berhemah daripada Ustaz Farhan itu benar-benar menyentuh hatinya.
“Sebelum ini, saya buat gaya rambut cornrow, tapi saya keluar (ikut tabligh) tiga hari. Dalam hati saya, ‘Eh, sayang nak buka sebab baru buat’ tapi saya ikat jadikan sanggul dan pakai snowcap.
“Ustaz (Farhan) gelak saja lihat gaya saya, tapi selang dua ke tiga minggu, baru dia WhatsApp dan tegur.
“Katanya, ‘bang, benda ini berat saya nak cakap, kalau saya cakap takut abang terasa hati, tapi saya kena cakap dengan abang sebab saya sayang abang,” katanya.
Katanya, teguran yang dibuat Ustaz Farhan sangat berhemah hingga membuatkan hatinya rasa sangat tersentuh.
“Katanya lagi, sekiranya rambut itu rambut asli, saya kena buka dan leraikan jika nak mandi wajib atau berwuduk kerana helaian rambut perlu dilalui air dan takut sekiranya kalau tidak rata (untuk mandi wajib), ia tidak sah.
“Bila dia cakap begitu, saya rasa, inikan guru saya, takkanlah saya tak nak dengar. Saya potong dan buang rambut itu,” katanya.
Penyanyi lagu Alasan Untuk Bahagia itu berkata, dia juga rasa gembira kerana dikelilingi rakan-rakan jemaah dan guru yang tidak pernah menghakimi sesiapa.
“Yang menarik apabila berada dalam lingkungan jemaah tabligh ini, apabila keluar bersama mereka, ustaz-ustaz atau rakan-rakan bukan orang yang menghakimi orang lain.
“Saya pernah berjumpa dengan seorang lelaki yang penuh dengan tindik di muka, ada tatu, pakai jaket kulit dengan hiasan duri-duri besi. Dia singgah dan solat di saf kedua dan di depan dia ada ustaz, ada ulama.
“Tiada seorang pun yang tegur dengan keras ‘Eh, buka dululah baru sembahyang’ atau ‘kau tak hormat ke?’ Dari sudut pandang saya, kalau orang tegur dengan kasar begitu, mungkin lelaki itu akan keluar, start enjin motosikalnya dan tak sembahyang,” katanya.
Katanya, dia akan meluangkan masa sekurang-kurangnya tiga hari dalam sebulan untuk keluar bersama jemaah tabligh bagi mendalami ilmu agama yang menjadi rutin sejak beberapa tahun lalu. – HMetro Online –
IMedikel TV






