Home Buletin Semasa APM LANCAR PESAN 2025: KUKUHKAN JARINGAN HADAPI BANJIR

APM LANCAR PESAN 2025: KUKUHKAN JARINGAN HADAPI BANJIR

615
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seramai 1,800 sukarelawan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak berhimpun di Kelantan sempena Perhimpunan Sukarelawan Nasional (PESAN) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) 2025, bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana menjelang musim tengkujuh.

Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed, berkata program yang julung kali diadakan secara rasmi dan tersusun itu menjadi platform penyatuan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan individu dalam satu rangka kerja bersepadu.

“Walaupun musim tengkujuh belum bermula, persediaan awal perlu dilakukan. Melalui Program Pesan 2025, kita menghimpunkan agensi kerajaan, NGO dan sukarelawan bagi memastikan kesiapsiagaan berada di tahap terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, konsep ‘PESAN’ membawa lima elemen utama iaitu Perpaduan, Expose, Sumbangan, Amanah dan Networking yang menjadi teras kepada pengukuhan gerak kerja sukarelawan di seluruh negara.

Beliau berkata, program itu bukan sekadar perhimpunan, tetapi wadah untuk menyatukan pelbagai entiti termasuk individu dan NGO agar segala bentuk bantuan dapat disalurkan secara lebih tersusun dan efektif.

“Kita mahu elak situasi di mana sumbangan dibuat secara terpisah dan tidak berkoordinasi. Bila semua bergerak di bawah satu rangkaian, ia bukan saja mempercepatkan bantuan, malah memastikan amanah penyumbang sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan jaringan (networking) antara sukarelawan dan agensi bagi memudahkan penyaluran logistik serta penyelarasan operasi di lapangan.

“Kadang-kadang ada yang mahu membantu tetapi tiada saluran atau pengetahuan asas tentang keselamatan. Sebab itu penting mereka mendapat latihan daripada agensi seperti APM, RELA, bomba atau tentera supaya tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika operasi,” jelasnya.

Menurutnya APM mempunyai kira-kira 13,000 sukarelawan yang bersedia digerakkan bagi menghadapi kemungkinan banjir, tidak termasuk anggota RELA, bomba dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Program Pesan 2025 turut mendapat dokongan pelbagai NGO termasuk Yayasan Raja Shamri, Yayasan Felda dan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB).

“Masyarakat Malaysia sememangnya berjiwa besar dan suka membantu. Kita hanya mahu memastikan semangat itu diselaraskan dengan lebih tersusun supaya kesannya lebih optimum,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here