Home Buletin Semasa APM SEDIA TEMPATKAN ANGGOTA DI 20 PPS TAMBAHAN HADAPI MUSIM BANJIR DI...

APM SEDIA TEMPATKAN ANGGOTA DI 20 PPS TAMBAHAN HADAPI MUSIM BANJIR DI KELANTAN

343
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersedia menempatkan anggotanya di 20 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tambahan yang akan dibuka apabila musim banjir melanda Kelantan.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) baru-baru ini memutuskan untuk menambah 20 lagi PPS, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 459 PPS sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi risiko banjir luar jangka.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan) APM, Datuk Ismail Mohd Zawawi, berkata pihaknya tidak berdepan sebarang masalah besar dalam proses pengagihan anggota memandangkan tugas tersebut turut dibantu anggota sukarela.

“Setakat ini kita ada lebih kurang sukarelawan yang terlibat dalam banjir bahkan apa jua bencana di Malaysia.

“APM memang banyak bergantung kepada pihak sukarelawan. Kita ada kuota tertentu yang diperuntukkan oleh kerajaan sebab kita diberikan bajet iaitu Elaun Kos Kontrak (EKK).

“Kita dapat RM140 juta setahun untuk EKK, kita tidak boleh melebihi had atau sasaran yang ditetapkan.

“Pengagihan itu bergantung kepada negeri dan pengarah masing-masing sebab mereka lebih tahu keperluan di negeri mereka,”katanya di sidang media selepas Majlis Temu Media, di sini, pada Jumaat.

Beliau mengakui penambahan PPS baharu sememangnya menambah beban tugas kepada pasukan di lapangan.

Namun begitu, katanya, perkara itu bukan sesuatu yang baharu kerana ia dihadapi setiap tahun.

Menurutnya, anggota di peringkat akar umbi juga telah terlatih dan berpengalaman dalam menangani situasi tersebut, justeru beliau yakin mereka mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Beliau berkata APM sudah mengaktifkan sepenuhnya kesiapsiagaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) dengan membuka Pusat Kawalan Nasional di ibu pejabat agensi itu.

Ismail berkata pihaknya juga akan mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap negeri sebagai sebahagian daripada langkah awal menghadapi sebarang kemungkinan bencana.

Beliau berkata, antara persiapan awal yang dilaksanakan ialah dengan mengenal pasti kawasan berisiko tinggi atau hotspot banjir yang diperoleh daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Pegawai-pegawai APM akan ditempatkan di lokasi berkenaan bagi memantau paras air sungai setiap empat jam. Laporan ini akan membantu kami membuat persediaan awal serta memberi amaran kepada penduduk kampung sekiranya paras air menunjukkan peningkatan,” katanya.

Dalam pada itu Ismail berkata  APM memperoleh kelulusan tambahan 80 kenderaan sewaan tahun ini termasuk 30 ambulans dan 50 kenderaan pacuan empat roda.

Katanya aset itu akan memperkukuh kesiapsiagaan agensi menghadapi bencana.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here