KOTA KINABALU: Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menafikan sebarang dakwaan memberi tawaran tertentu kepada pemimpin dan ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) untuk meninggalkan parti itu dan kembali kepada GRS.
Memetik laporan Berita Harian, Setiausaha Agung, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Mohamed Razali Razi, berkata tiada sebarang tawaran kepada mana-mana pihak untuk meninggalkan parti mereka bagi menyertai GRS.
Sebaliknya, beliau yakin tindakan bekas pemimpin dan ahli parti lain, termasuk dari STAR meninggalkan parti untuk bersama Gagasan Rakyat dan GRS adalah atas keyakinan terhadap kemampuan gabungan parti tempatan itu.
“Sebelum ini, STAR di bawah satu rumah dengan GRS dan mereka percaya serta yakin bahawa kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor adalah pemimpin yang tepat yang perlu kita teruskan.
“Kita tidak mahu macam dulu rakyat Sabah yang rugi, kita mahu kesinambungan, kita mahu kestabilan. Kalau setiap lima tahun kita tukar polisi, tukar macam-macam, yang rugi adalah rakyat,” katanya ditemui pemberita selepas menerima permohonan seramai 250 ahli STAR Bahagian Darau yang meninggalkan parti itu untuk menyertai Gagasan Rakyat, di sini, hari ini.
Penghijrahan beramai-ramai ahli STAR menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) itu diketuai bekas Ketua Wiranita STAR Bahagian Darau, Datin Nollyzai Awang Sham.
Razali ditanya dakwaan Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan sebelum ini yang menuduh pemimpin bahagiannya diberi tawaran tertentu bagi meninggalkan parti itu selepas STAR tidak lagi bersama GRS kerana mahu bertanding solo pada PRN17 bulan depan.
Sementara itu, Nollyzai menegaskan beliau tidak diberi sebarang tawaran untuk meninggalkan STAR, selain tidak pernah terbabit dalam politik wang.
“Sepanjang saya dalam bidang politik ini, saya belum pernah terbabit dengan politik wang. Saya sebagai bekas ketua Wiranita STAR dan teman-teman saya yang lain, kami percaya terhadap Gagasan Rakyat.
“Kami yakin dengan kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Hajiji Noor dan saya juga yakin terhadap ketua saya, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau, Datuk Razali.
“Saya yakin dengan kredibilitinya, saya yakin dengan kebolehan dan komitmennya yang boleh memperjuangkan rakyat dan komuniti di Darau,” katanya.
Atas sebab itu, beliau berkata pihaknya merasakan ada baiknya mereka bekerjasama dan akhirnya secara sukarela menyertai Gagasan Rakyat sebagai ahli baharu untuk terus kekal dalam GRS.
“Jika kita ditawar wang atau apa saja sudah tentu saya minta jawatan tetapi tiada perkara seumpama itu, hanya ahli biasa saja dalam Gagasan Rakyat,” katanya.
STAR keluar dari GRS sejak awal Oktober selepas Jeffrey menyatakan pendiriannya untuk membawa parti pimpinannya itu bertanding menggunakan logo sendiri atau secara solo.
Parti itu bersama satu lagi bekas komponen GRS, Parti Maju Sabah (SAPP) kemudiannya bekerjasama membentuk gabungan baharu Gerakan Bersatu Sabah (GBS) yang akan bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – BH Online –
IMedikel TV






