Oleh: Wartawan IMedikel TV
MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, bagi hari penamaan calon PRN Melaka ditetapkan 31 Oktober, manakala mengundi awal pada 10 November ini.
Katanya tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 31 Oktober 2026 (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 13 November 2026 (Jumaat).
“Bagi menjalankan proses PRN Melaka Ke-16, SPR telah melantik 28 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 80 orang Penolong Pegawai Pengurus.
“Manakala, bagi memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 28 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 28 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan dalam pilihan raya pada kali ini.
Katanya seramai 11,175 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses tersebut.
“Sebanyak 31 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 50 tempat mengundi/saluran awal. Manakala 240 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 1,213 tempat mengundi/saluran akan digunakan.
“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 271 buah Pusat Mengundi dengan 1,263 tempat mengundi/saluran.
“PRN Melaka Ke-16 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM28.45 juta,” katanya.
Ramlan berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRN Melaka kali ini adalah seramai 687,697 orang pemilih yang terdiri daripada 675,166 orang pengundi biasa, 9,769 orang tentera serta pasangan, dan 2,762 orang polis.
Kataya DPPR itu adalah Daftar Pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Julai Tahun 2026 yang dikemas kini sehingga 22 September 2026.
“Para pengundi yang terlibat dalam PRU DUN Melaka Ke-16 boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7218 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
“Waktu operasi Hotline SPR adalah dari 9:00 pagi hingga 8:00 malam setiap hari. Semakan boleh dibuat juga mulai 26 Oktober 2026 (Isnin),” katanya.
IMedikel TV






