KUALA LUMPUR : Pelakon, Mierul Aiman memaklumkan isu ugutan serangan diterimanya menerusi media sosial sebelum ini sudah diselesaikan secara baik.
Memetik laporan Berita Harian, Mierul atau nama sebenarnya Mohammad Amirul Aiman Norazman, 28, berkata, individu terbabit sudah menghubunginya menerusi mesej peribadi (DM) dan memohon maaf atas tindakannya itu.
“Alhamdulillah, pihak yang meninggalkan komen berunsur ugutan mengenai parang itu sudah meminta maaf kepada saya. Saya tahu permohonan maaf itu ikhlas dan jujur.
“Bagi saya, setiap isu atau apa saja perkara yang kita lalui boleh diselesaikan dengan cara saling menghormati dan berkasih sayang.
“Dia anggap kenyataan itu sebagai gurauan, tapi sebenarnya ia gurauan yang sangat kasar dan terlebih batas. Jadi saya ambil isu ini sebagai peringatan untuk diri sendiri dan semua orang,” katanya.
Mierul ketika ditemui pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang berlangsung di Istana Budaya, mengakui terkejut pada awalnya selain turut memohon maaf sekiranya ada tindakannya sebelum ini yang mengundang rasa kurang senang mana-mana pihak.
“Mula-mula memang terkejut, tetapi perkara itu tidak berpanjangan sehinggalah saya dapat tahu ibu saya sudah mengetahuinya terlebih dahulu.
“Apabila membabitkan kebimbangan ibu bapa dan keluarga, saya rasa seperti sudah melakukan kesalahan terhadap pihak yang mungkin tidak bersetuju dengan tindakan kita.
“Jadi, saya memohon maaf sekiranya ada tindakan saya sepanjang siri jelajah yang menyinggung mana-mana pihak,” katanya.
Terdahulu, Mierul mencuri perhatian ramai selepas menerima komen berunsur ugutan daripada seorang pengguna media sosial yang mendakwa mahu menyerangnya menggunakan parang.
Dalam perkembangan lain, Mierul dinobatkan sebagai pemenang trofi Pelakon Lelaki Harapan menerusi filem Tarung: Unforgiven pada FFM35 selepas menewaskan empat calon lain iaitu Merah Muhaimin, Shahfi Rafiq, Thom Phan dan Xid Haixal. – BH Online –
IMedikelTV






