Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV
KOTA BHARU: Penghulu Mukim Sabak, Mohd Abdul Bashir Zakaria mewakili penduduk memohon pihak berkaitan mempertimbangkan kerja menaikkan paras kawasan pekarangan sebuah sekolah di Sabak yang sering menjadi lokasi tumpuan apabila berlaku banjir kilat semasa musim tengkujuh.
Beliau berkata, masalah air bertakung di kawasan sekolah berkenaan bukan perkara baharu, sebaliknya telah berlaku sejak sekian lama terutama apabila fenomena hujan lebat bertembung dengan keadaan air pasang besar.
Menurutnya, kawasan sekolah itu kini berada pada paras lebih rendah berbanding jalan utama berhampiran yang telah beberapa kali dinaik taraf dan ditinggikan.

“Apabila jalan semakin tinggi tetapi kawasan sekolah masih berada pada paras lama, air akan bertakung lebih lama apabila berlaku hujan lebat dan air pasang serentak.
“Keadan menjadi lebih mencabar apabila sistem saliran sedia ada tidak mampu mengalirkan air dengan cepat menyebabkan kawasan berkenaan mudah dinaiki air,” katanya kepada IMedikel TV di Sabak, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Mohd Abdul Bashir berkata, penduduk terpaksa melaksanakan saliran sementara setiap kali berlaku banjir bagi mempercepatkan aliran air keluar dari kawasan terjejas dan mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
Katanya, usaha itu dilakukan dengan bantuan kontraktor dan agensi berkaitan sebagai langkah segera bagi mengurangkan risiko air melimpah ke kawasan yang lebih luas.

Tambahnya, sekolah berkenaan turut dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi Kampung Sabak, Kemumin dan Pulau Gajah setiap kali berlaku banjir kerana kedudukannya yang lebih selamat berbanding beberapa kawasan penempatan berhampiran.
“Fenomena air pasang besar yang berlaku ketika musim tengkujuh dijangka berterusan dan boleh menyebabkan air bertakung selama beberapa hari sekiranya hujan lebat berterusan.
“Saya merakamkan penghargaan kepada pihak kontraktor, wakil rakyat, Pejabat Tanah dan Galian serta agensi berkaitan kerana sentiasa memberikan kerjasama dalam membantu menangani masalah banjir di Mukim Sabak.
Katanya, sokongan dan tindakan pantas semua pihak terbabit banyak membantu mengurangkan kesan banjir serta memastikan usaha penyelesaian jangka panjang dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Kami berharap penyelesaian jangka panjang seperti menaikkan paras kawasan sekolah dan menaik taraf sistem perparitan dapat dilaksanakan segera bagi mengurangkan risiko banjir kilat serta memastikan keselamatan penduduk dan pelajar sepanjang musim tengkujuh,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan kejadian banjir di empat jajahan di Kelantan bermula 24 hingga 27 November ini susulan analisis data hidrologi model ramalan banjir.
JPS menerusi Ramalan Awal Banjir Negeri Kelantan dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan kawasan terlibat ialah Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat, khususnya kawasan hotspot banjir, kawasan rendah serta berisiko banjir.
IMedikelTV






