KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali menyerahkan nasibnya dalam pasukan kepada pihak pengurusan TFC.
Memetik laporan Berita Harian, jurulatih kelahiran Kemaman itu berkata, apa saja keputusan daripada majikannya, beliau akan menerima dengan hati yang terbuka kerana sedar ‘langit tidak selalunya cerah’.
Terdahulu pengendali berusia 49 tahun itu diberikan ‘talian hayat’ sebanyak tiga perlawanan sebelum pihak pengurusan skuad Penyu membuat keputusan mengenai kedudukannya dalam pasukan sama ada dikekalkan ataupun sebaliknya.
Bagaimanapun bekas ‘arkitek’ skuad Terengganu itu enggan mengaku kalah sebelum menamatkan perjuangan, sebaliknya dia bersama pembantunya, Tengku Hazman Raja Hassan dan Rosdi Talib akan cuba sedaya upaya memperbaiki prestasi pasukannya.
“Mengenai kedudukan sebagai ketua jurulatih pasukan, saya serahkan kepada pihak pengurusan TFC untuk memutuskannya, apa-apapun saya perlu terima apa yang terjadi nanti.
“Ini kerana saya memikul tanggungjawab berkenaan atas kekalahan pada malam ini (malam tadi), kami tahu pemain banyak melakukan kesilapan pada perlawanan itu, begitu juga dengan saya melakukan kesilapan, saya harap pemain dapat perbaiki apa yang terjadi pada malam ini (malam tadi) pada aksi seterusnya,” kata Badrul Afzan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pasukan bimbingannya tewas 0-5 kepada ‘gergasi’ Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.
Pada perlawanan itu, penyerang import kelahiran Brazil, Jairo Da Silva meledak jaringan hatrik buat pasukannya manakala masing-masing satu gol menerusi Bergson Da Silva dan Romel Morales.
Mengulas perlawanan itu, Badrul Afzan yang mengambil alih tugas ketua jurulatih sejak awal Oktober tahun lalu daripada jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner mengakui begitu kecewa dengan corak permainan yang diperagakan anak buahnya malam tadi.
“Saya begitu kecewa perlawanan pada malam ini (malam tadi) kerana pemain terlalu menghormati JDT sekali gus mengakibatkan kami dibolosi lima jaringan, apa-apapun kami perlu terima kekalahan ini kerana saya sudah maklum kepada pemain bertemu JDT kami tidak boleh melakukan kesilapan.
“Tapi perkara ini berlaku dengan cepat dan pemain seolah-olah hilang fokus dan tidak beraksi mengikut perancangan sama ada pada babak pertama ataupun kedua.
“Pemain juga dilihat tidak begitu agresif sehingga lawan berjaya menghasilkan gol yang terlalu mudah, saya harap pemain sedar apa yang kita mahukan iaitu satu mata pada malam ini, tapi mereka gagal menyerlah,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






