LYON: Enam penjenayah ditahan polis selepas menggunakan letupan dan senjata gred tentera untuk merompak sebuah loji penapisan logam berharga berhampiran Lyon dan melarikan emas bernilai sekitar AS$13.8 juta (RM58 juta).
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, rompakan itu berlaku pada petang Khamis dan mengakibatkan lima pekerja makmal Pourquery mengalami kecederaan ringan, dengan tiga daripada mereka dibawa ke hospital untuk rawatan.
Rakaman di media sosial menunjukkan dua lelaki berpakaian hitam keluar dari sebuah van putih dan membawa tangga untuk memanjat pagar syarikat itu.
Dalam rakaman itu, seorang saksi, dipercayai pekerja syarikat berdekatan, terdengar letupan besar dan perompak membawa senjata Kalashnikov.
Suspek, dipercayai penjenayah berpengalaman, ditangkap tidak lama selepas itu di bandar bersebelahan, Venissieux dan seorang wanita yang turut serta dalam rompakan juga ditahan.
Raifal serangan, pistol dan bahan letupan turut dirampas oleh polis.
Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez, turut memuji kepantasan dan kawalan polis dalam menangani insiden itu.
Rompakan ini berlaku hanya beberapa minggu selepas kes kecurian di Muzium Louvre, menjadikan ia rompakan besar kedua dalam tempoh singkat.
Rangkaian rompakan menimbulkan kebimbangan umum mengenai keselamatan muzium dan tempat lain yang menyimpan barangan bernilai tinggi. – AFP, bh Online –
IMedikel TV






