Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memperkukuh kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi bencana melalui pelaksanaan Program Kampung Siaga 221.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan) APM, Datuk Ismail Mohd Zawawi, berkata program berkenaan bertujuan melatih penduduk di peringkat komuniti atau penduduk setempat bagi kesiapsiagaan dalam menghadapi apa jenis bencana terutamanya bencana banjir yang sering berlaku di negara kita.
“Melalui Kampung Siaga 221, kita melatih penduduk supaya tahu tindakan awal yang perlu dilakukan sekiranya berlaku bencana seperti banjir. Antara latihan yang diberikan termasuk bagaimana untuk berkumpul, mengenal pasti lokasi selamat dan membantu sesama komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Temu Media bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM), di sini, hari ini.
Menurutnya, Kampung Pulau Renjuna, Tumpat adalah antara kawasan yang dijadikan lokasi pelaksanaan awal program itu, di mana penduduk dilatih untuk menghadapi kemungkinan bencana, khususnya banjir.
“Masalah utama yang sering berlaku ketika bencana ialah panik akibat kekurangan pengetahuan. Apabila masyarakat dilatih, mereka tahu apa perlu dibuat dan boleh membantu antara satu sama lain sebelum pasukan APM tiba,” jelasnya.
Beliau berkata APM mahu masyarakat memiliki sekurang-kurangnya pengetahuan asas pengurusan bencana, agar tidak bergantung sepenuhnya kepada agensi penyelamat.
“Sekurang-kurangnya, mereka tahu asas bagaimana untuk bertindak, memberi bantuan awal dan membantu komuniti sendiri. Malah, kita juga melatih pelbagai pihak termasuk wartawan supaya mempunyai pengetahuan asas sebagai responden pertama sekiranya berlaku kejadian kecemasan,” katanya.
Setakat ini terdapat lima Kampung Siaga 221 di Kelantan termasuk Kampung Pulau Renjuna, Masjid As-Syakirin, Kampung Kajang Sebidang, Dewan Semai Bakti, Felda Chiku Tiga, Gua Musang, Kampung Pulau Belanga, Kota Bharu dan Kampung Pulau Pos Dakoh, Gua Musang.
IMedikel TV






