GAZA: Rumah seorang penduduk, Moein al-Hattu, musnah teruk selepas dibedil, namun bom seberat lebih satu tan masih tergantung pada tiang yang rosak dan belum meletup.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, bom itu digugurkan dalam serangan udara Israel di Bandar Gaza ketika pertempuran dengan Hamas.
Moein berkata, dia hidup dalam ketakutan kerana tiada pihak yang mampu mengalihkan bom berkenaan.
Menurutnya, pihak berkuasa termasuk pertahanan awam dan majlis perbandaran mendakwa mereka tidak mempunyai keupayaan untuk membuang bom berkenaan.
Difahamkan, jika bom itu meletup, ia boleh memusnahkan lima hingga enam rumah di kawasan terbabit.
Dua tahun perang menyebabkan Gaza dipenuhi sisa letupan, termasuk peluru yang masih aktif dan membahayakan penduduk.
Kanak-kanak di Bandar Gaza dilihat bermain dengan bahagian roket dan peluru mortar tanpa menyedari ancaman maut.
Dalam pada itu, kajian Handicap International mendapati, Israel menggugurkan kira-kira 70,000 tan bahan letupan sejak perang tercetus pada 7 Oktober 2023.
Sementara itu, Perkhidmatan Tindakan Perang Ranjau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNMAS), memberi amaran bahawa antara lima hingga 10 peratus bom yang digugurkan tidak meletup dan boleh diambil Hamas atau ditemukan penduduk awam.
Di Hospital Al-Shifa, Mohammed Nour menjaga dua anaknya yang cedera selepas terkena letupan ketika mencari kayu dan kadbod untuk memasak.
Difahamkan, anak-anaknya tercampak akibat letupan dan ditemukan dalam keadaan berselerakan dengan tubuh dipenuhi serpihan.
Seorang lagi kanak-kanak, Yahya, 6, hilang sebahagian tangan dan tubuhnya berbalut, manakala datuknya hanya mampu menemaninya dengan sedih.
Susulan itu juga, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Palestin merekodkan, sekurang-kurangnya lapan kanak-kanak cedera parah akibat sisa bahan letupan, namun jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana masih banyak peluru dilaporkan belum meletup di Gaza. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






