Home Buletin Semasa DUA PESAKIT KANSER PAYUDARA BERJUANG LAWAN PENYAKIT KEDUA

DUA PESAKIT KANSER PAYUDARA BERJUANG LAWAN PENYAKIT KEDUA

325
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Bagi kebanyakan orang, berdepan satu penyakit kronik sudah cukup menggoncang semangat.

Namun bagi dua wanita cekal ini, ujian yang menimpa datang berganda tetapi mereka tetap memilih untuk tersenyum dan terus melangkah bersama kasih seorang suami yang tidak pernah berpaling.

Che Rohani Che Wil, 51, dan Faridah Ibrahim, 52, masing-masing adalah pesakit kanser payudara yang kini turut berjuang melawan penyakit lain.

Che Rohani, seorang penjawat awam dari Kota Bharu, kini turut berdepan kanser otak, manakala Faridah yang bekerja di sebuah hospital, di sini, baru sahaja menjalani pembedahan membuang keseluruhan kelenjar tiroid pada hujung tahun lalu.

Bagi Che Rohani, segalanya bermula pada tahun 2020 ketika pandemik COVID-19 melanda.

“Saya mula perasan ada biji-biji kecil di dada kanan selepas mandi. Apabila buat mamogram dan biopsi, doktor sahkan saya menghidap kanser payudara,” katanya tenang mengimbau saat getir itu.

Selepas menjalani beberapa siri kemoterapi dan radioterapi, beliau menyangka perjuangan itu hampir tamat namun dua tahun kemudian, ujian kedua datang tanpa disangka.

“Hasil Imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET Scan) menunjukkan ada ketulan di bahagian leher. Apabila buat pemeriksaan lanjut, rupa-rupanya ada ketumbuhan di otak,” katanya.

Walaupun kini masih menjalani rawatan susulan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian, Che Rohani mengakui kekuatannya banyak datang daripada doa dan kasih keluarga, terutama suaminya, Syahizad Mohd Zahari, 48.

“Suami banyak tolong saya, dia yang uruskan kerja rumah dan anak-anak. Saya hanya mampu bersyukur Allah kirimkan pasangan yang setia waktu susah.

“Kalau tiada suami, mungkin saya tidak sekuat ini. Dia teman saya masa rawatan, tolong uruskan rumah, anak-anak, semuanya,” katanya tersenyum dalam ketenangan seorang pejuang.

Bagi Faridah pula, kanser payudara mula dikesan sejak tahun 2006 ketika usianya baru 33 tahun.

“Waktu tu anak-anak masih kecil, umur dua, empat dan lima tahun. Memang stres, tetapi saya kuat sebab suami sentiasa di sisi,” katanya.

Selepas menjalani pembedahan, kemoterapi dan radioterapi, Faridah akhirnya bebas daripada kanser payudara namun ujian baharu muncul pada penghujung 2024 apabila doktor mengesan ketumbuhan pada tiroid.

“Hasil imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) tunjuk ada biji kecil di tiroid. Doktor sahkan kanser dan saya terus buat pembedahan total thyroid pada 31 Disember tahun lalu,” katanya.

Kini beliau masih menjalani rawatan iodin di HPUSM sebagai langkah pencegahan.

“Kalau dulu masa tahu menghidap penyakit kanser payudara, saya menangis sebab masih muda, sekarang saya lebih banyak bersyukur. Kanser ni bukan penamat hidup, tapi peluang untuk lebih menghargai masa dan orang sekeliling terutama suami, Mohd Zulkafly Yahya dan anak-anak tersayang,” katanya dengan mata berkaca.

Dua wanita luar biasa ini membuktikan bahawa bersyukur dan reda serta sokongan keluarga tersayang mampu menjadi penawar paling hebat dalam mengharungi ujian hidup.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here