KINSHASA: Sekurang-kurangnya 107 orang maut selepas sebuah bot karam di Sungai Congo, barat Republik Demokratik Congo (DRC) pada Khamis.
Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, bot yang dikenali sebagai bot ‘ikan paus’ itu terbakar di kawasan sungai berhampiran Kampung Malange di wilayah Lukolela pada petang Khamis.
Menurut laporan dalaman kerajaan, tragedi itu menyebabkan 146 penumpang hilang manakala 209 lagi berjaya diselamatkan.
Beberapa mangsa yang terselamat mengalami kecederaan selepas bot itu terbakar dan hanyut mengikut arus sungai. Kebakaran itu turut mengakibatkan kargo bot musnah dan 15 buah rumah di tebing sungai terbakar.
Operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada Jumaat dengan anggota tentera laut dan sukarelawan komuniti menyusur tebing sungai.
Pihak berkuasa berjanji untuk menyediakan rawatan perubatan kepada mangsa yang cedera, bantuan kepada keluarga yang kehilangan, dan menguruskan kepulangan mangsa yang terselamat ke tempat asal mereka.
Kemalangan ini berlaku beberapa hari selepas satu lagi kes bot karam di pertemuan sungai Nsolo dan Great Maringa di wilayah Basankusu, menyebabkan sekurang-kurangnya 86 orang terbunuh.
Menurut laporan media tempatan, kejadian itu berlaku pada Rabu lalu selepas sampan bermotor terbalik akibat muatan berlebihan dan pelayaran pada waktu malam.
Aktivis masyarakat sivil, Akula Mboyo, dalam satu kenyataan berkata, pelayaran pada waktu malam adalah dilarang.
Operasi menyelamat pula sering terbantut akibat sumber terhad dan lokasi kemalangan yang jauh di pedalaman.
Pengangkutan sungai menjadi nadi utama di kawasan hutan hujan yang luas di Congo, di mana bot kayu lama adalah bentuk pengangkutan utama antara kampung.
Justeru, kemalangan kerap berlaku disebabkan pelbagai faktor seperti bot yang membawa muatan berlebihan, penyelenggaraan yang tidak rapi, dan penggunaan bot pada waktu malam. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






