DAMSYIK: Satu kejadian tembakan dan pengeboman berani mati di sebuah gereja di Damsyik, pada Ahad, membunuh sekurang-kurangnya 22 orang.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, pihak berkuasa menyalahkan seorang anggota Daesh untuk serangan itu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Masyarakat antarabangsa mengutuk serangan itu, yang pertama seumpamanya di ibu negara Syria sejak tentera pimpinan Islam menggulingkan pemerintah lama Bashar al-Assad pada Disember lalu.
Ia juga serangan pertama di gereja di Syria sejak perang saudara negara itu meletus pada 2011, menurut pemantau.
Keselamatan kekal sebagai salah satu cabaran terbesar bagi pihak berkuasa baharu Syria, dengan masyarakat antarabangsa berulang kali menggesa mereka untuk melindungi minoriti.
Wartawan AFP melihat responden pertama mengangkut orang dari gereja Ortodoks itu ketika pasukan keselamatan mengepung kawasan berkenaan.
Keadaan dalam gereja itu berselerak dengan kayu dari kelengkapan dan bangku, dengan darah di atas lantai.
“Seorang penyerang berani mati yang bergabung dengan kumpulan Daesh memasuki gereja Saint Elias di kawasan Dwelaa… melepaskan tembakan kemudian meletupkan dirinya dengan tali pinggang letupan,” kata kenyataan kementerian dalam negeri.
Agensi berita negara SANA yang memetik kementerian kesihatan melaporkan, angka kematian 22 orang, manakala 63 lagi cedera.
Lawrence Maamari yang berada di dalam gereja ketika serangan itu berlaku memberitahu AFP seorang lelaki masuk dan mula menembak.
Orang ramai “cuba menghalangnya sebelum dia meletupkan dirinya”, tambahnya.
Ziad Helou, 40, yang berada di kedai berhampiran berkata, dia mendengar bunyi tembakan kemudian letupan, dan melihat kaca terbang.
“Kami melihat api di dalam gereja dan sisa-sisa bangku kayu tercampak sehingga ke pintu masuk,” katanya.-AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






