KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menyerahkan kepada peminat badminton tanah air untuk menilai sendiri sama ada program latihan yang diterapkannya sejak menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Februari lalu berkesan atau sebaliknya.
Memetik laporan Berita Harian jurulatih berpengalaman dari Indonesia yang dikenali dengan gelaran ‘Naga Api’ itu percaya, barisan pemain beregu lelaki negara sudah menunjukkan peningkatan ketara, termasuk dari segi kematangan taktikal dan keberkesanan perancangan permainan.
Antara pencapaian membanggakan sejak kehadirannya termasuk kejayaan pasangan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik merangkul dua gelaran musim ini — Kejohanan Badminton Asia bulan lalu serta Terbuka Thailand dua minggu lalu.
Malah, kebangkitan beregu negara semakin menyerlah apabila dua pasangan iaitu Aaron-Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun mencipta sejarah apabila bertemu sesama sendiri dalam perlawanan akhir Masters Malaysia 2025, semalam.
Dalam aksi di Axiata Arena itu, Wei Chong-Kai Wun mencipta kejutan apabila menewaskan gandingan senior mereka dengan keputusan 21-12, 15-21, 21-16 sekali gus menamatkan kemarau 12 tahun kejuaraan beregu lelaki di kejohanan berkenaan.
Herry menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti jelas bahawa struktur latihan dan pendekatan taktikal yang dilaksanakannya semakin membuahkan hasil.
“Saya rasa program yang saya buat untuk Indonesia dan Malaysia hampir sama, tetapi mungkin peminat badminton Malaysia boleh lihat perbezaan dari segi cara mereka bermain.
“Jadi, strategi permainannya menurut saya sekarang sudah berbeza berbanding yang dulu. Ini pendapat saya, tapi penilaian yang lebih adil adalah daripada masyarakat, khususnya penggemar badminton tempatan,” katanya.
Menurut Herry, kejayaan Wei Chong-Kai Wun kembali ke prestasi terbaik selepas mengenai kemerosotan prestasi sejak menjuarai Masters Indonesia Januari lalu adalah hasil analisis mendalam terhadap corak permainan mereka sebelum ini.
“Kami kaji semula video perlawanan mereka dan bandingkan dengan aksi ketika mereka menjuarai Indonesia Masters. Dari situ, mereka sedar apa yang perlu diperbaiki dan mula menemui semula rentak permainan terbaik mereka,” kata Herry. – BH Online –
IMedikel TV






