NUSEIRAT: Penduduk Palestin yang terpaksa meninggalkan rumah mereka dan cuba kembali ke utara Gaza yang hancur akibat serangan Israel tidak dapat berbuat demikian kerana tentera Israel masih menyekat akses ke kawasan itu sehingga semalam
Kawasan yang dikenali sebagai Koridor Netzarim itu adalah jalur sepanjang tujuh kilometer (km) dari sempadan Israel hingga ke Laut Mediterranean. Kehadiran tentera Israel di sana memutuskan hubungan antara utara Gaza dengan bahagian lain wilayah itu.
Polis Palestin juga menghalang ratusan penduduk yang kehilangan tempat tinggal daripada mendekati persimpangan, di mana beberapa kereta kebal dan kenderaan berperisai Israel masih menyekat jalan.
Ramai yang berharap akan dapat kembali ke rumah mereka selepas gencatan senjata perang Israel-Hamas dikuatkuasakan minggu lalu, tetapi mereka mendapati perjalanan mereka dihalang.
Israel, semalam mengumumkan mereka akan menghalang kepulangan penduduk ke utara Gaza sehingga pejuang Hamas membebaskan tebusan Arbel Yehud, seorang wanita awam yang diculik dalam serangan 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang.
Kenyataan dari pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, menyebut, Yehud ‘sepatutnya dibebaskan hari ini’ sebagai sebahagian daripada pertukaran tebusan-tahanan kedua di bawah perjanjian gencatan senjata.
“Israel tidak akan membenarkan penduduk Gaza melintas ke bahagian utara Semenanjung Gaza sehingga pembebasan Arbel Yehud diselesaikan,” kata kenyataan itu.
Jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari pula berkata: “Hamas tidak mematuhi perjanjian mengenai kewajiban untuk membebaskan wanita awam terlebih dahulu”.
Dua sumber Hamas memberitahu AFP pula, Yehud ‘masih hidup dan berada dalam keadaan sihat’ dengan satu sumber mengatakan, wanita itu akan ‘dibebaskan sebagai sebahagian daripada pertukaran ketiga yang dijadualkan pada Sabtu depan (1 Februari)’.
Dalam kenyataan berasingan yang disiarkan di X, jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee, berkata penduduk Gaza tidak akan dibenarkan mendekati Koridor Netzarim, laluan yang perlu dilalui untuk kembali ke utara Gaza ‘sehingga ia diumumkan akan dibuka’.
Katanya, arahan itu akan kekal berkuat kuasa sehingga notis lanjut dan sehingga Hamas memenuhi komitmennya.
Hamas pula berulang kali menegaskan, sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata, tentera Israel sepatutnya berundur dari Netzarim semalam, semasa pertukaran tebusan-tahanan kedua dan membenarkan penduduk Gaza yang terjejas kembali ke utara. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






