KUANTAN: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad tidak menolak kemungkinan melakukan perubahan dalam kesebelasan utama apabila melayan kunjungan Kuala Lumpur (KL) City FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, malam esok.
Legenda bola sepak Singapura itu berkata, perubahan itu perlu ketika skuad Tok Gajah akan berdepan Sabah FC pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Temerloh, 2 Februari ini.
“Mungkin ada pertukaran satu atau dua pemain kerana tumpuan kini lebih kepada separuh akhir kedua Piala Malaysia minggu depan dan pada masa sama kita inginkan momentum kita berjalan lancar.
“Namun, saya tidak boleh memberitahu perubahan posisi kerana kemenangan adalah matlamat pasukan untuk melonjakkan kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Super.
“Apa yang boleh saya katakan ialah jika tiada halangan atau kecederaan, Sri Pahang akan menyenaraikan kesebelasan terbaik.
“Saya mengharapkan semua pemain memberi persembahan yang terbaik. Mudah-mudahan, kita dapat mengatasi KL City dan selepas itu tumpuan pada aksi separuh akhir Piala Malaysia,” kata pengendali berusia 62 tahun itu.
Ditanya tahap kecergasan semua pemain, Fandi mengesahkan anak buahnya berada pada tahap terbaik untuk menyekat lawan itu.
“Setakat ini, semua pemain dilihat begitu komited dalam latihan dan hanya Kpah Sherman yang mengalami masalah kesihatan.
“Tetapi saya harap Sherman dapat kembali berlatih hari ini dan menjalani latihan seperti biasa kerana khidmatnya diperlukan,” katanya.
Selepas 15 perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan ke-10 dengan mengutip 15 mata. – BH Online –
IMedikel TV






