Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Permainan karom sering kali dilihat sebagai sesuatu yang mudah dan santai, namun hakikatnya ia memerlukan ketepatan, strategi yang mantap, dan kecerdasan otak (IQ) yang tinggi untuk menghadapi pihak lawan.
Che Danish Haiqal Che Saufi, 18, pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian 2 berkata mula bermain karom sejak usia 12 tahun lagi.
“Bermain karom ini nampak sahaja seperti senang tetapi pemain perlu tahu langkah dan pukulan dalam permainan.
“Ia juga perlu dirancang dengan teliti bagi mengelakkan kesilapan kecil yang boleh mengubah seluruh perjalanan permainan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada pertandingan karom yang diadakan di Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan 2024, di Aeon Mall, di sini, baru-baru ini.
Jelasnya, setiap pemain bukan sahaja perlu menyelaraskan mata dan tangan secara tepat, tetapi mereka perlu meramal pergerakan lawan dan membaca situasi yang perlu dibawa di dalam permainan.

Tambahnya, ia bukan sekadar permainan tetapi mampu menguji minda dan kemahiran.
“Pemain karom terdiri daripada dua hingga empat orang secara bergilir-gilir untuk menjentik buah pemukul ke atas buah karom sebagai sasaran untuk masuk ke dalam lubang papan karom itu,” katanya.
IMedikel TV






