Home Buletin Semasa GURU AL-QURAN BERDEPAN HUKUMAN PENJARA SEMBILAN TAHUN, TIGA SEBATAN AMANG SEKSUAL TIGA...

GURU AL-QURAN BERDEPAN HUKUMAN PENJARA SEMBILAN TAHUN, TIGA SEBATAN AMANG SEKSUAL TIGA MURID LELAKI

51
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PASIR MAS: Seorang guru Al-Quran dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas sembilan tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga kanak-kanak lelaki, bermula 2023.

Hakim Zulkpli Abdullah turut memerintahkan Hanafi Hassan, 64, dikenakan tiga sebatan atas kesalahan berkenaan.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh berada di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak muridnya yang ketika itu berusia sembilan tahun pada Mei 2023, 16 Mac 2024, 26 Januari dan 11 Oktober 2025.

Perbuatan itu dilakukan antara jam 8 pagi hingga 5.45 petang di dalam bilik mandi masjid di Kusial Bharu, dan tandas Masjid di Manal serta stor kedai gunting rambut di Kusial Bharu, Tanah Merah.

Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa lain yang juga anak muridnya yang ketika itu berusia sembilan tahun pada 25 September, 2 Oktober dan 24 Oktober 2025.

Perbuatan itu dilakukan pada jam 3.15 petang dan 3.30 petang di dalam bilik stor masjid di Kusial, Tanah Merah.

Bagi pertuduhan kelapan hingga kesembilan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berbeza bermula usia mangsa 11 tahun pada 23 November dan 7 Disember 2025.

Perbuatan itu dilakukan pada jam 5.30 petang di dalam bilik mandi Masjid di Tanah Merah.

Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Aiysha memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana kesalahan itu amat serius.

“Dalam kes ini, tertuduh merupakan seorang guru mengaji yang sudah tentu dipercayai untuk mendidik kanak-kanak namun tertuduh telah mengambil kesempatan terhadap ketiga-tiga mangsa secara berulang kali.

“Tertuduh menggunakan pujukan seperti membawa mangsa keluar untuk membeli pengecas telefon, kad sim dan kasut, jika mangsa enggan, tertuduh mengugut tidak mahu mengajar mengaji bagi mempengaruhi mangsa,” katanya dalam hujahan pemberatan.

Tertuduh dalam rayuannya memohon agar mahkamah mengenakan hukuman seringan-ringannya memandangkan dia sudah tua dan mempunyai empat orang anak.

“Pak cik adalah tulang belakang dalam keluarga dan hanya pak cik seorang yang bekerja, pak cik juga mempunyai seorang anak orang kurang upaya (OKU), pak cik juga menyesal atas perbuatan yang terkutuk ini,” katanya dalam rayuan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun bermula dari tarikh tangkap pada 1 Mei lepas dan tiga sebatan terhadap tertuduh.

Dalam masa sama, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh hukuman penjara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here