NEW YORK: Ikon pop dunia, Madonna, Shakira dan kumpulan K-pop, BTS bakal menggegar pentas akhir Piala Dunia 2026 dalam persembahan ala ‘Super Bowl’ di Stadium MetLife, New Jersey pada 19 Julai depan.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, FIFA dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan bahawa vokalis Coldplay, Chris Martin bertindak selaku pengatur persembahan itu.
Ini julung kali diadakan bagi aksi kemuncak Piala Dunia, namun ia mula menimbulkan kebimbangan peminat berhubung tempoh masa rehat separuh masa yang mungkin menjadi lebih lama.
Edisi terbesar dalam sejarah ini bakal menyaksikan penyertaan 48 pasukan dan dijadual bermula pada 11 Jun di Amerika Syarikat, Kanada serta Mexico.
Presiden FIFA, Gianni Infantino sebelum ini mendedahkan rancangan berkenaan pada Mac tahun lalu bagi membawakan kelainan luar biasa pada perlawanan akhir berkenaan kelak.
“Ini bakal menjadi detik bersejarah buat Piala Dunia FIFA dan sebuah persembahan yang selayak bagi acara sukan terbesar di dunia,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Langkah ini dilihat mengikut jejak langkah final Copa America 2024 di Miami apabila Shakira tampil membuat persembahan separuh masa di Stadium Hard Rock.
Sebelum ini, final Piala Dunia Kelab FIFA di stadium sama turut mengadakan konsert serupa sehingga menyebabkan waktu rehat melebihi tempoh 15 minit yang ditetapkan.
Selain persembahan di stadium, Infantino turut merancang untuk ‘menawan’ Times Square, di sini, pada hujung minggu perlawanan akhir.
Acara gilang-gemilang ini bertujuan menyokong Tabung Pendidikan Global Citizen FIFA yang menyasarkan kutipan dana RM420 juta ($100 juta) untuk kanak-kanak di seluruh dunia.
Dalam pada itu, Shakira baru-baru ini memberi bayangan awal mengenai lagu rasmi Piala Dunia bertajuk “Dai Dai” melalui klip video pendek yang dirakam di Stadium Maracana, Brazil.
Menerusi video berdurasi 67 saat itu, penyanyi yang terkenal dengan lagu “Waka Waka” itu tampil di tengah padang dengan bola rasmi kejohanan, “Trionda” bersama penari berpakaian warna jersi negara bertanding termasuk Amerika Syarikat dan Colombia.
Lagu hasil kerjasama dengan artis Nigeria, Burna Boy itu menampilkan lirik dalam bahasa Inggeris dan dijadualkan dilancarkan secara rasmi pada Khamis.
Akaun rasmi Piala Dunia FIFA juga berkongsi klip video dengan mesej,”Kami sudah bersedia!”-AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






