Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV
TUMPAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan di lebih 20 kawasan panas (hotspot) sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) bagi mengekang aktiviti penyeludupan migran dan kontraban di sempadan perairan negeri ini.
Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, walaupun keadaan laut bergelora ketika musim tengkujuh mampu mengurangkan aktiviti penyeludupan, pihaknya tidak mengambil mudah ancaman jenayah rentas sempadan yang sentiasa berubah mengikut keadaan semasa.
Beliau berkata, berdasarkan rekod sejak 2023 hingga November 2026, Maritim Kelantan merekodkan 46 kes tangkapan melibatkan 348 pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada pelbagai negara.

“Warga Myanmar mencatat jumlah tangkapan tertinggi iaitu 169 orang, diikuti Vietnam seramai 61 orang, Bangladesh (14), 11 orang India, dua orang Laos dan seorang dari Sri Lanka.
“Kita melihat ancaman penyeludupan migran bukan sekadar angka statistik. Modus operandi mereka sentiasa berubah dan akan mencari laluan baharu setiap kali sesuatu laluan berjaya dikesan pihak berkuasa,” katanya selepas mengadakan rondaan dan pemantauan kawasan Hot Spot penyeludupan Pendatang Tanpa Izin (PATI), di sini, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati sebahagian PATI memasuki negara jiran melalui laluan udara dan darat sebelum dibawa ke sempadan Malaysia menggunakan bot laju melalui perairan Kelantan.
Katanya, kebanyakan migran yang terlibat membayar antara RM3,500 hingga RM10,000 seorang kepada sindiket bagi mengatur perjalanan masuk ke negara ini secara haram.

Tambahnya, sepanjang tahun ini sahaja sehingga November, Maritim Kelantan merekodkan 14 kes melibatkan 193 PATI, manakala dua kes telah dituduh di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Selain penyeludupan migran, pihaknya turut merekodkan 12 kes rampasan kontraban sejak Januari 2023 dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM19.65 juta, termasuk empat kes penyeludupan rokok putih tidak bercukai pada tahun ini bernilai hampir RM1 juta,” katanya.
Jelasnya, kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot ialah Pulau Tengkorak, Pantai Geting, Pantai Tujuh, Kuala Tumpat, Tanjung Jaffar, Pulau Besar, Kampung Kok Majid, Kampung Bijang, Kampung Cina, Pohon Buloh, Pasir Pekan, Kampung Sirih, Jenderam, Pasir Mas dan Sungai Ular.
“Dengan kewujudan banyak lorong air dan pulau kecil di kawasan sempadan, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh rondaan, risikan dan kerjasama masyarakat bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
IMedikelTV






