Home Buletin Semasa JKDM TUMPAS CUBAAN SELUDUP ROKOK, DIESEL NILAI RM31.6 JUTA.

JKDM TUMPAS CUBAAN SELUDUP ROKOK, DIESEL NILAI RM31.6 JUTA.

Oleh Wartawan IMedikel TV 

​JOHOR BAHRU : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan cubaan penyeludupan rokok dan minyak diesel menerusi dua operasi berasingan di perairan Kukup dan Pengerang di sini dengan nilai sitaan berjumlah RM31.6 juta. 

​Pengarah Kastam Negeri Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, kejayaan itu adalah hasil usaha penguatkuasaan secara bersepadu menerusi kerjasama Direktorat Jenderal Bea dan Cukai (DJBC) serta penggunaan pendekatan penguatkuasaan berkesan JKDM.

​Katanya bagi kes pertama pada 21 Oktober lalu, pihaknya menahan sebuah kapal di perairan Pengerang. 

​”Hasil pemeriksaan ke atas kapal tersebut mendapati sebanyak 29,916,000 batang rokok pelbagai jenama yang disyaki tak berkastam ditemukan dan disita dengan anggaran nilai berjumlah RM5.98 juta. 

​”Anggaran duti dan cukai yang terlibat pula adalah sebanyak RM21 juta menjadikan jumlah keseluruhan nilai sitaan termasuk duti dan cukai sebanyak RM26.984 juta.

​”Susulan operasi itu, sebuah kapal yang digunakan sebagai pengangkutan di laut beserta lapan orang kru kapal warganegara Myanmar berumur antara 25 hingga 53 tahun ditahan bagi membantu siasatan lanjut,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Jeti Marin Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, sini hari ini. 

Menurut Aminul Izmeer, kapal tangki kedua yang membawa muatan minyak diesel pula ditahan pada 2 November lalu bertindak atas maklumat AMPOMA.

Katanya sepasukan anggota Kastam daripada Unit Marin Sungai Pulai membuat tahanan dan serbuan ke atas sebuah kapal tangki minyak di perairan Kukup. 

​”Pemeriksaan mendapati kapal tersebut membawa sejumlah besar cecair yang dipercayai minyak diesel yang disyaki belum lulus kastam dan kapten kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah apabila diminta. 

​”Minyak diesel tersebut disita manakala kapal bersama-sama lapan orang kru kapal warganegara Myanmar berumur antara 25 hingga 53 tahun ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

​”Minyak diesel yang disita dianggarkan sebanyak 569,000 liter bernilai RM1.39 juta manakala duti dan cukai terlibat sebanyak RM227,000 menjadikan jumlah keseluruhan nilai sitaan termasuk duti dan cukai sebanyak RM1.62 juta,”katanya.

​Kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here