Oleh: Wartawan IMedikel TV
KOTA BHARU: Operasi pintasan dan sekatan laluan laut yang dilaksanakan Polis Kelantan bersama agensi penguat kuasa lain berjaya mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui laluan sungai dan laut di negeri ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, operasi rintis kedua yang dilaksanakan dari 7 hingga 21 November lalu menunjukkan keberkesanan apabila tiada kemasukan PATI melalui laluan sungai direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau berkata, hanya dua kes tangkapan direkodkan sepanjang operasi itu, masing-masing membabitkan kegiatan penyeludupan migran di kawasan Nibong, Tanah Merah dan Gongsan.
Menurutnya, kes pertama di Nibong, Tanah Merah membabitkan seorang tekong warga Malaysia bersama empat lagi warga Malaysia serta 30 warga Myanmar.
Sementara itu, dalam kes kedua di Gongsan, operasi bersama polis dan Jabatan Imigresen berjaya menahan seorang tekong warga Malaysia bersama 23 individu yang dipercayai PATI.
Mohd Yusoff berkata, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada pendekatan pencegahan bagi menghalang kemasukan migran secara tidak sah sebelum mereka berjaya memasuki negara.
Katanya, tindakan menghalang kemasukan lebih berkesan berbanding usaha mengesan dan menahan mereka selepas berada di dalam negara kerana ia turut melibatkan proses tahanan, pendakwaan serta penghantaran pulang.
Beliau turut menjelaskan bahawa Thailand digunakan sebagai negara transit sebelum migran dibawa ke negara ketiga berdasarkan permintaan, dengan tekong berperanan mengendalikan perjalanan berkenaan.
Justeru, Polis Kelantan akan meneruskan operasi bersepadu bersama agensi berkaitan bagi memperketat kawalan sempadan dan membanteras kegiatan penyeludupan migran yang boleh mengancam keselamatan negara.
IMedikelTV






