Home Buletin Semasa IBU AUTISME DUDUKI SPM BERSAMA ANAK, CETUS INSPIRASI

IBU AUTISME DUDUKI SPM BERSAMA ANAK, CETUS INSPIRASI

Oleh: Wartawan IMedikel TV

KOTA BHARU: Demi memberikan semangat dan dorongan kepada anaknya yang menghidap autisme, seorang ibu sanggup kembali menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama anak lelakinya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Bharu, hari ini.

Mazlina Abdul Majid, 44, yang bekerja sebagai pembantu pergigian di sebuah klinik pergigian di sini, berkata keputusan untuk menduduki SPM tahun ini dibuat pada Mac lalu bagi membolehkannya meningkatkan kelayakan akademik sekali gus memberi sokongan moral kepada anak sulung daripada empat beradik itu.

Menurutnya, tindakan tersebut diharap dapat membangkitkan semangat Muhammad Adam Daniel Othman, 17, yang sebelum ini pernah hilang motivasi untuk meneruskan pembelajaran.

“Pada mulanya, saya mahu memberikan dorongan kepada anak kerana dia juga salah seorang calon SPM.

“Saya mahu dia merasakan ada persaingan dalam pelajaran dan tahu bahawa dia tidak berseorangan menghadapi cabaran ini.

“Pada masa sama, saya juga mahu meningkatkan pencapaian dan kemajuan diri sendiri,” katanya.

Mazlina berkata, meskipun sibuk dengan komitmen pekerjaan, beliau tetap berusaha mendapatkan bantuan pembelajaran tambahan untuk memastikan persediaannya menghadapi peperiksaan berjalan lancar.

Katanya, beliau turut mendapatkan bimbingan daripada guru serta mengambil tutor peribadi bagi satu mata pelajaran.

Mengulas harapannya, Mazlina menegaskan kepentingan pendidikan sebagai asas untuk membina masa depan lebih baik, termasuk kepada golongan yang sudah bekerja.

Beliau turut menasihatkan golongan muda supaya memanfaatkan peluang menuntut ilmu sebaik mungkin kerana kelayakan akademik yang lebih tinggi mampu membuka ruang kepada masa depan yang lebih cerah.

“Pelajaran sangat penting walaupun kita sudah bekerja. Jika mahu melangkah ke peringkat lebih tinggi, kita memerlukan kelayakan akademik yang baik.

“Gunakan masa yang ada sebaik-baiknya untuk memperbaiki masa depan kerana peluang untuk kembali memperbaikinya bukan sesuatu yang mudah apabila kita sudah meninggalkan alam persekolahan,” katanya.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here