TUMPAT: Seorang lelaki tempatan dipercayai tekong ditahan bersama lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dalam satu operasi di Neting, Pengkalan Kubor, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 5 pagi oleh sepasukan anggota Task Force Batalion 7, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan yang sedang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.
“Anggota bertugas mengesan sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna kuning dalam keadaan mencurigakan sebelum pemandunya dipercayai cuba melarikan diri.
“Bagaimanapun, kenderaan itu terbabas sebelum melanggar penghadang jalan, menyebabkan pemandu berusia 34 tahun berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati terdapat lapan warga Myanmar di dalam kenderaan berkenaan, terdiri daripada tiga lelaki dan lima perempuan berusia antara 18 hingga 31 tahun, termasuk seorang bayi berusia sembilan bulan.
“Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah ketika pemeriksaan dilakukan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Mohd Khairi berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan individu lain yang dipercayai turut terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat menerusi talian 09-7252482 atau hadir ke balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat.