Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TANAH MERAH: Tindakan seorang lelaki tempatan memecut kenderaan bagi mengelak pemeriksaan polis membawa padah apabila kereta dipandunya terbabas sebelum dia ditahan bersama sembilan migran warga Myanmar di Kampung Alor Pasir, di sini, malam Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam, 22 November lalu, lelaki berusia 34 tahun itu dikesan memandu sebuah kereta jenis Hyundai Santa Fe dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) di sekitar Kampung Repek, Pasir Mas.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, sebaik menyedari kehadiran polis, pemandu terbabit bertindak memecut kenderaan bagi melarikan diri sehingga ke Kampung Alor Pasir.

“Bagaimanapun, kenderaan itu terbabas berhampiran sebuah rumah di tepi jalan sebelum pemeriksaan mendapati terdapat sembilan migran warga Myanmar di bahagian penumpang.
“Kumpulan migran terbabit terdiri daripada empat wanita berusia 25 hingga 47 tahun serta lima lelaki berusia 18 hingga 35 tahun,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
“Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Menurutnya, lelaki tempatan berkenaan turut mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan kes narkotik dan tiga rekod berkaitan kes jenayah.

“Polis turut merampas sebuah kereta Hyundai Santa Fe, sebuah telefon bimbit jenis Oppo A17 serta satu unit kunci kereta untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Mohd Haki berkata, kesemua individu yang ditahan bersama barang rampasan dibawa untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Beliau berkata, pihak polis akan terus mempergiatkan rondaan serta operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan migran dan kegiatan yang melanggar undang-undang negara.
IMedikel TV






