Home Buletin Semasa LELAKI DITAHAN ISI PETROL DUA KALI SECARA BERULANG DALAM TEMPOH SEJAM SETENGAH...

LELAKI DITAHAN ISI PETROL DUA KALI SECARA BERULANG DALAM TEMPOH SEJAM SETENGAH DI STESEN MINYAK SAMA

25
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

TUMPAT: Taktik seorang lelaki mengisi minyak petrol sebanyak dua kali secara berulang dalam tempoh sejam setengah di stesen minyak sama di Kampung Laut di sini, terbongkar selepas pihak berkuasa mengesan kegiatan penyeludupan itu.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, tindakan itu dibuat menggunakan Mitsubishi Pajero kira-kira jam 8.05 pagi dan 9.36 pagi di stesen minyak berkenaan, semalam.

“Kita menjalankan risikan dan pemantauan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) mendapati kenderaan terbabit membuat dua kali pengisian petrol.

“Serbuan terus dijalankan dan pemeriksaan lanjut pada kenderaan itu menemukan tangki yang diubah suai dengan saluran hos lebih besar daripada spesifikasi asal bagi tujuan menyimpan petrol dalam kuantiti lebih banyak,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Beliau berkata, pihaknya juga merampas 90 liter petrol disyaki RON95 dengan dua keping resit pembelian minyak serta menyita kenderaan tersebut.

Beliau berkata, susulan penahan lelaki terbabit, pihak KPDN menjalankan pemeriksaan terhadap stesen minyak berkenaan kerana disyaki melanggar arahan pengawal bekalan berkaitan larangan penjualan petrol RON95 secara berulang pada hari sama kepada kenderaan sama.

Menurutnya, beberapa dokumen berkaitan operasi stesen termasuk lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA), Akta Kemajuan Petroleum (PDA), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), lesen pihak berkuasa tempatan (PBT), buku stok runcit serta salinan resit jualan minyak juga disita bagi membantu siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM10,361.80 termasuk kenderaan.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here