Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Pasangan suami isteri ditahan reman hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh orang kurang upaya (OKU) pembelajaran, Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, pada 15 April lalu.
Reman terhadap suspek lelaki berusia 26 tahun diperintahkan selama tujuh hari sehingga Jumaat depan manakala isterinya berusia 27 tahun direman lima hari sehingga Rabu.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pasangan suami isteri itu tiba mahkamah jam 8.45 pagi dengan memakai pakaian lokap.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata suspek ditahan di rumahnya di Kampung Padang Salim, Peringat Kota Bharu, jam 4.30 petang semalam.
Katanya, suspek lelaki didapati mempunyai rekod jenayah lampau namun ujian air kencing menunjukkan kedua-dua suspek negatif dadah.
“Pasangan suami isteri ini adalah rakan kepada mangsa dan kita akan menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Dalam kejadian 15 April lalu, seorang lelaki OKU pembelajaran maut dipercayai akibat dipukul.
Mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia pada 12.55 pagi ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
IMedikel TV






