Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Ada ibu bapa merungut tentang yurang mengaji al Quran yang dianggap mahal dan tidak berbaloi.
Team IMedikel TV bertanyakan orang ramai untuk mendapatkan komen daripada mereka yang mengajar al Quran.

Seorang guru mengajar al Quran, Nur Adilah Mohd Sukor, 30, berkata sepatutnya ibu bapa tidak boleh berkira dengan pendidikan anak-anak.
“Kalau kita lihat, ramai ibu bapa melebihkan anak-anak dari segi pendidikan di sekolah sehingga ada yang sanggup hantar anak ke pusat tuisyen demi mendapatkan keputusan cemerlang dalam akademik.
“Tetapi, hanya segelintir yang cakna tentang pendidikan akhirat khususnya mengaji al-Quran. Terdapat ibu bapa yang merungut tentang yuran mengaji kerana dikatakan mahal dan tidak berbaloi,”katanya.
Nur Adilah, berkata dia berpengalaman dalam mengajar al-Quran selama enam tahun agak terkilan dengan masyarakat sekarang kerana memandang sepi tentang bab akhirat.
“Pelajar saya ada 60 orang buat masa sekarang, ada yang saya mengajar secara bersemuka dan juga atas talian.

“Yuran yang saya kenakan adalah RM50 untuk 12 kali sebulan, manakala RM70 untuk 20 kali sebulan. Kalau masih ada yang cakap yuran yang saya berikan tidak berbaloi, saya tidak boleh nak bagi komen lagi,”katanya.
Norhayati Aini, 40, mengajar al-Quran sejak 8 tahun lalu, berkata sebelum ini dia tidak menetapkan kadar bayaran yuran.
“Sebelum ini bayarannya seikhlas hati, tetapi timbul beberapa isu jadi saya tetapkan bayaran yuran secara selaras.

“Kepada ibu bapa yang merungut bayaran mengaji agak mahal sebenarnya mereka tidak mengerti ilmu al-Quran ini, kita akan bawa sampai mati. Nilaiannya sebenarnya lebih besar dan tidak mampu kita bayar di dunia ini.
“Kebiasaan yang merungut bayaran mahal ini, ibu bapa yang berduit. Untuk ibu bapa yang tidak mampu, mereka sehabis baik memberi apa yang ada untuk anak-anak mereka mengaji. Kebanyakan guru al-Quran tidak meminta melebihi tahap kemampuan pelajar. Mereka ikhlas untuk mengajar. Yang penting ibu bapa kena menghormati guru-guru al-Quran yang mengajar anak-anak mereka.
Katanya adab ibu bapa pelajar kepada guru al-Quran sangat penting kerana untuk anak mendapat keberkatan dalam mempelajari al-Quran.

“Saya ada pengalaman ayah sebegini. Agak sukar untuk saya mengajar anaknya, lalu saya mengambil keputusan mohon ibunya mencari guru al-Quran lain,”katanya.
Nor hayati berkata kadar yuran yang ditetapkan adalah RM50, 4 kali sebulan, RM100, 8 kali sebulan dan RM150 untuk 12 kali sebulan.
Katanya setakat ini jumlah pelajar adalah 40 orang secara bersemuka dan atas talian.
IMedikelTV






