Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Timbul kebimbangan daripada orang ramai berikutan kejadian kemalangan yang melibatkan seorang wanita yang cedera parah apabila dirempuh kayu balak yang terjatuh dari sebuah lori di Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, semalam.
Mangsa yang cedera, Siti Norelyana Kamaruzan, 21, tercampak daripada motosikal yang ditunggangnya setelah dirempuh kayu balak yang jatuh ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bandar Utama Gua Musang.
Menurut seorang pekerja swasta, Syazwan Kamal, 30 dari Pengkalan Chepa, mangsa Siti Norelyana sudah berada di lorong yang betul namun, takdir yang ditentukan tidak boleh disangka kerana ia berlaku dengan sekelip mata.

“’Kun Fayakun’ walaupun dia sudah berada di tempat yang betul dan mematuhi peraturan jalanraya tetapi Allah sudah menetapkan takdir tersebut terhadap dirinya, walaubagaimanpun saya mendoakan supaya mangsa dalam keadaan stabil dan cepat sembuh seperti sediakala,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, hari ini.
Tambah Syazwan, ‘Turn-table’ yang patah menjadi punca sebuah lori yang membawa muatan balak terbalik.
“Oleh sebab itu, penting untuk menjaga keselamatan, pemandu lori perlu membuat pemeriksaan pada kenderaan terdahulu sebelum bergerak kerana ianya sangat berisiko khususnya yang membawa muatan berat.
“Sekiranya melalui jalan selekoh, sebaiknya perlahankan kenderaan dan sentiasa berwaspada dan peka akan keadaan sekeliling kita,” katanya.
Seorang lagi pekerja swasta, Suria Syahida Zahari, 25, dari Bachok berkata kejadian kemalangan melibatkan lori kayu balak sering berlaku sehingga mencederakan orang disekelilingnya di jalanraya.

“Saya rasa sebaiknya lori yang membawa muatan berat perlu disediakan laluan yang sesuai untuknya kerana tanpa kita sedari ia boleh mencederakan orang di bahagian jalan yang bertentangan.
“Selain itu, saya rasa waktu yang sesuai untuk lori tersebut bergerak adalah pada waktu malam kerana mungkin ianya kurang berisiko terhadap orang lain,” katanya.
IMedikel TV






