Home Hiburan 101 ARTIS GAMATKAN FESTIVAL ATAS ANGIN 2024

101 ARTIS GAMATKAN FESTIVAL ATAS ANGIN 2024

211
0

KUALA LUMPUR: Atas sambutan baik diterima terhadap Festival Atas Angin dalam kalangan penggemar muzik ‘indie’, acara berkenaan bakal diteruskan dengan skala lebih besar pada penganjuran kali ketiga yang dijadual berlangsung di Rooftop MyTown Cheras pada 3 Ogos ini.

Bakal berlangsung tanpa henti selama 15 jam bermula antara jam 9 pagi hingga 12 tengah malam, Festival Atas Angin 2024 bakal membawakan seramai 101 penyanyi terdiri daripada persembahan penyanyi solo, berkumpulan dan DJ.

Menariknya, acara berkenaan turut menampilkan kumpulan legenda, Alleycats yang pasti akan menambah kehangatan termasuk mengubat kerinduan peminat terhadap band popular era 1970-an itu.

Tentunya menjadi satu lagi tarikan dengan kumpulan diketuai Datuk David Arumugam selaku vokalis yang akan mempersembahkan lagu ‘hits’ mereka seperti Andainya Aku Pergi Dulu, Hingga Akhir Nanti, Suara Kekasih, Senyumlah Kuala Lumpur, Kerana dan banyak lagi.

Pengarah Projek Atas Angin Festival 2024, Arif Imran, berkata proses untuk membawa band itu ke festival ini adalah sangat mudah dan antara usaha untuk menarik golongan berusia ke festival berkenaan.

“Saya telefon dan mereka okay sebab persembahan hanya di Kuala Lumpur dan mereka mahu ikut serta.

“Sebenarnya, kami tidak ada kriteria terperinci mengenai pembabitan kumpulan dalam festival ini. Alleycats antara kumpulan legenda negara, jadi kami berharap ia dapat menarik peminat lebih berusia.

“Kami harap kehadiran mereka dapat menarik golongan lebih dewasa. Lagipun, bapa saya juga peminat Alleycats,” katanya pada sidang media Festival Atas Angin 2024 di MyTown Cheras, baru-baru ini.

Pada masa sama, Arif berkata, penganjuran Festival Atas Angin 2024 bukan untuk mencari keuntungan, sebaliknya diadakan atas dasar minat terhadap bidang muzik.

“Semua kos kami tanggung sendiri dan sejujurnya, festival ini bukan tempat buat duit. Festival dianjurkan bagi meraikan semua pemuzik ‘indie’, malah mereka yang menyertainya bukan untuk duit, tetapi sebab minat.

“Mereka faham dengan apa yang dilakukan ini. Kami juga memang berkawan rapat dan kenal setiap daripada mereka yang akan membuat persembahan,” katanya.

Arif berkata, selaku penganjur, pihaknya membelanjakan kos kira-kira RM500,000 hasil kutipan dana daripada persembahan diadakan sebelum ini.

“Kami tidak mempunyai penaja, macam mana kami dapat merealisasikan festival ini adalah daripada kutipan wang persembahan gig.

“Daripada sokongan peminat, kami kumpul duit sampai cukup, maka terjadilah Festival Atas Angin 2024 ini.

“Apa yang saya boleh katakan, kos penganjuran konsert tahun ini lebih daripada setengah juta,” katanya.

Menerusi Festival Atas Angin 2024 setiap barisan artis akan mengadakan persembahan dari lima pentas berasingan berbanding tahun lalu iaitu hanya empat pentas.

Antaranya, Bittersweet, Hyper Act, Amir Jahari, Aizat Amdan, Estranged, IamNEETA, Iqbal M, Jemput Dengar, Kyoto Protocol dan ramai lagi.

Ia berlangsung 15 jam tanpa henti bermula jam 9 pagi sehingga acara tamat. – BH Online –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here