Amerika Syarikat (AS) menuduh China dan Russia melindungi Korea Utara daripada sebarang tindakan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) susulan pelancaran peluru berpandu balistik antara benua secara berturut-turut yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Tindakan oleh Korea Utara itu didakwa melanggar beberapa resolusi PBB dan menjejaskan keselamatan penerbangan dan maritim antarabangsa.
Duta AS, Linda Thomas-Greenfield, memberitahu mesyuarat majlis itu bahawa tindakan ‘obstructionism’ atau menghalang daripada China dan Russia menggalakkan Korea Utara ‘untuk melancarkan peluru berpandu balistik dengan sewenang-wenangnya’ dan memajukan pembangunan senjata yang lebih canggih dan berbahaya.
Selepas mesyuarat itu, beliau membaca kenyataan bagi pihak ahli majlis Albania, Ecuador, Perancis, Jepun, Malta, Switzerland, Emiriah Arab Bersatu dan United Kingdom, yang disertai oleh Korea Selatan, yang mengecam pelancaran berkenaan.
Ia berkata, krisis yang semakin meningkat mengancam bukan sahaja rantau ini, tetapi keamanan dan kestabilan global dan meminta Majlis Keselamatan untuk bercakap semula dengan satu suara.
Tidak seperti ucapan dibuat oleh Thomas-Greenfield, kenyataan itu tidak menamakan China dan Russia walaupun ia jelas merujuk kepada dua negara terbabit.
Majlis Keselamatan sebelum ini bersatu mengenakan sekatan selepas letupan ujian nuklear pertama Korea Utara pada tahun 2006 dan mengetatkannya selama bertahun-tahun.
Taklimat berkenaan diadakan di tengah-tengah latihan ketenteraan terbesar AS dan Korea Selatan, termasuk simulasi komputer, latihan lapangan dan latihan pengebom B-1B jarak jauh AS dengan pesawat perang Korea Selatan.
Korea Utara berkata, ia mensimulasikan serangan nuklear ke atas Korea Selatan dengan peluru berpandu balistik pada hujung minggu, pelancaran kelimanya bulan ini untuk membantah latihan ketenteraan.
Timbalan Duta Besar PBB China, Geng Shuang, mendakwa pada 2018 Korea Utara mengambil ‘inisiatif positif melepaskan senjata nuklear sebagai balasan untuk keselamatan’, memberitahu majlis itu ‘pihak AS gagal bertindak balas, mensia-siakan peluang penting untuk mencapai penyahnuklear di Semenanjung.”
Thomas-Greenfield membalas bahawa ia tidak benar walaupun Korea Utara sudah menghentikan ujian buat sementara waktu.
“Banyak pelancaran yang kami lihat menunjukkan kepada kita semua bahawa (Korea Utara) terus memajukan programnya dalam sempadannya sendiri,” katanya.
Sumber: BH Online & AFP
– Imedikel TV






