SYDNEY: Kematian 51 ikan paus spesies pilot yang terdampar di Pantai Cheynes di Australia telah disahkan oleh Jabatan Biodiversiti, Pemuliharaan dan Daya Tarikan (DBCA) Australia Barat hari ini, lapor Xinhua.
“Kakitangan Perkhidmatan Taman dan Hidupan Liar bekerjasama dengan sukarelawan berdaftar dan pertubuhan lain untuk cuba menyelamatkan baki 46 ikan paus dengan membawanya ke perairan yang lebih dalam pada siang hari,” menurut jabatan itu.
Menurut Jabatan itu, orang ramai digesa supaya menjauhi pantai untuk keselamatan mereka.
Cheynes Beach Caravan Park berkata DBCA sudah menubuhkan pasukan pengurusan tragedi itu.

“Kakitangan berpengalaman dari DBCA, termasuk doktor haiwan Zoo Perth dan pakar fauna marin, bersama peralatan khusus, termasuk kapal dan anduh sudah digerakkan ke lokasi,” menurut hantaran terkini taman itu di media sosial.
Pada pagi Selasa, DBCA menerima laporan sekumpulan besar ikan paus bersirip panjang berkumpul kira-kira 150-meter dari Pantai Cheynes.
Berikutan tragedi itu, kerajaan mengeluarkan amaran kerana haiwan yang mati dan cedera mungkin menarik jerung menghampiri pantai.

Sekumpulan hampir 100 ikan paus pilot sirip panjang dikesan di Pantai Cheynes berhampiran Albany petang semalam, kira-kira 400-kilometer (km) ke tenggara Perth.
Pakar dari Perkhidmatan Taman dan Hidupan Liar negeri disertai sukarelawan, bekerja sepanjang malam dan perlu menahan suhu sejuk bagi memantau rapat ikan paus berkenaan.
Ikan paus pilot yang terdampar secara besar-besaran bukan perkara luar biasa di Australia dan New Zealand.

Oktober tahun lalu, kira-kira 500 paus pilot mati apabila terdampar di pantai terpencil dekat Kepulauan Chatham, New Zealand.
Saintis tidak begitu memahami apa punca fenomena itu berlaku kerana spesies itu sangat mudah bergaul dan mungkin mengikut rakan kumpulan yang tersesat dalam bahaya. – BH Online & AGENSI –
Imedikel TV






