JOHANNESBURG: Sekurang-kurangnya 12 orang maut dalam banjir akibat hujan lebat di pantai timur Afrika Selatan setakat semalam, kata pihak berkuasa tempatan.
Di wilayah Eastern Cape, ‘angka kematian kini berjumlah tujuh orang,” kata jurucakap perbandaran Teluk Nelson Mandela, di tengah-tengah banjir, kepada AFP.
Lebih daripada 2,000 orang telah dipindahkan dari Teluk Nelson Mandela, terutama dari rumah sementara di kawasan setinggan perbandaran.
Pihak berkuasa tempatan melancarkan rayuan untuk derma pakaian, makanan dan selimut.
Berhampiran bandar pelabuhan Durban di wilayah kejiranan KwaZulu-Natal, lima orang kehilangan nyawa di Metro eThekwini, kawasan yang paling teruk terjejas.
“Berpuluh-puluh orang sedang dirawat kerana kecederaan di kemudahan penjagaan kesihatan”, menurut kerajaan wilayah dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa wilayah turut mengisytiharkan keadaan berjaga-jaga di KwaZulu-Natal.
Durban dan kawasan sekitarnya pada 2022 menjadi tapak banjir terburuk dalam sejarah Afrika Selatan, akibat banjir lumpur yang mengorbankan lebih 400 orang dan menyebabkan kerosakan bernilai beberapa juta dolar.
Perkhidmatan menyelamat dikerahkan di kedua-dua wilayah yang terjejas pada malam Isnin.
Imej yang dibekalkan oleh pihak berkuasa menunjukkan rumah pangsa dan jalan raya ditenggelami air selain pokok dilaporkan tumbang, malah bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan.
Institut meteorologi negara berkata Afrika Selatan berada dalam cengkaman sistem tekanan rendah yang mengakibatkan hujan lebat dan cuaca sejuk yang juga boleh menyebabkan hujan batu, salji dan angin kencang.
Hujan lebat melanda pantai timur Lautan Hindi, dan perkhidmatan meteorologi mengeluarkan amaran cuaca di empat daripada sembilan wilayah di Afrika Selatan. – AFP, BH Online –
Imedikel TV






