Home Buletin Semasa ZAINANI JUSOH DILANTIK AKAUNTAN NEGARA BAHARU KUATKUASA HARI INI

ZAINANI JUSOH DILANTIK AKAUNTAN NEGARA BAHARU KUATKUASA HARI INI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Timbalan Akauntan Negara (Korporat), Zainani Jusoh, dilantik sebagai Akauntan Negara yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Memetik kenyataan media Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Zainani bagi menggantikan Datuk Nor Yati Ahmad yang bersara wajib semalam.

“Surat pelantikan sebagai Akauntan Negara Malaysia (ANM) telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar di Putrajaya pada 27 Ogos lalu,”menurut kenyataan itu.

Zainani anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan berpengalaman sebagai penjawat awam lebih dari 30 tahun apabila mula menyertai sektor awam pada tahun 1994 sebagai Akauntan di Pasukan Petugas Sistem Perakaunan Mikro, JANM.

Sepanjang perkhidmat, beliau sudah berkhidmat di pelbagai jabatan dan kementerian antaranya Lembaga Peperiksaan Malaysia, Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Luar Negeri (KLN) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Beliau berpengalaman luas dalam pengurusan perakaunan dan kewangan sektor awam serta pembangunan sistem perakaunan Kerajaan.

“Antara sumbangan besar beliau dalam pembangunan sistem perakaunan kerajaan adalah terlibat dalam menukar landskap pengurusan perakaunan di kedutaan Malaysia luar negara dari manual kepada pendigitalan.

“Perubahan yang besar ini membantu pengurusan kewangan di semua kedutaan Malaysia dapat diuruskan dengan lebih cekap, tepat dan cepat,”menurut kenyataan itu.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Akauntan Negara (Korporat) pada September 2023, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Khidmat Perunding JANM dan Pengarah Bahagian Akaun Kementerian Kewangan pada tahun 2019 sehingga tahun 2023.

Perkhidmatan cemerlangnya itu diakui apabila beliau dianugerahkan darjah kebesaran Bentara Setia Mahkota sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada tahun 2015.

“JANM ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada pihak Kerajaan atas kepercayaan yang diberikan kepada YBrs. Puan Zainani binti Jusoh bagi menggalas tugas dan amanah sebagai ANM bermula dari 3 September 2025,”menurut kenyataan itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here