Home Luar Negara SIKLON MOCHA DIRAMAL BADAI KEM PELARIAN TERBESAR DI DUNIA

SIKLON MOCHA DIRAMAL BADAI KEM PELARIAN TERBESAR DI DUNIA

153
0

GENEVA: Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) memberi amaran siklon tropika Mocha semakin kuat, mendorong angin kencang, banjir dan kemungkinan insiden tanah runtuh.

Ia dijangka membadai Bangladesh minggu ini dan laluan ribut itu diramal menjejaskan daerah sempadan tenggara negara itu, Cox’s Bazar yang menempatkan sejuta pelarian Rohingya biarpun tiada kesan langsung yang mungkin berlaku.

Bercakap pada taklimat akhbar di Geneva, jurucakap WMO, Clare Nullis, berkata siklon itu dijangka mampu menjejaskan kem pelarian terbesar dunia yang terletak di Bangladesh.

Katanya, pusuan ribut dengan ketinggian antara dua hingga 2.5-meter diramal berlaku pada hujung minggu dan ia dijangka membadai kawasan rendah di utara Myanmar.

“Ia antara lain diramal membadai beberapa bahagian di Bangladesh yang mungkin mengakibatkan kejadian banjir kilat dan tanah runtuh.

“Mocha adalah siklon sangat berbahaya dan dikaitkan dengan angin kencang. Dijangka ada impak besar ketika dan selepas kejadian ini, selain ia berpotensi menjejaskan ratusan ribu orang,” katanya.

Sementara itu, jurucakap agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Olga Sarrado, berkata persiapan memindahkan sebahagian pelarian di kem itu sedang dijalankan sekiranya perlu.

Beliau berkata, agensi berkenaan turut menyediakan puluhan ribu hidangan panas dan bekas untuk mengisi minyak atau air.

Jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Margaret Harris, pula berkata kira-kira 33 pasukan perubatan bergerak, 40 ambulans serta kit pembedahan kecemasan dan taun sudah diatur gerakkan untuk kem terbabit.

Selain itu, katanya, WHO turut membekalkan 500,000 tablet penulenan air dan bekalan lain yang mencukupi untuk berdepan musim berkenaan di Myanmar.

“Kita perlu bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan, termasuk jika siklon ini semakin mengganas,” katanya.

Sumber BH Online & REUTERS

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here