Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah meminda Rang Undang-Undang Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan akan dibawa ke Dewan Negara yang dijangka bersidang minggu depan.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata sebaik mendapat kelulusan Dewan Negara, akta tersebut akan diwartakan dan dijangka dikuatkuasakan pada awal 2026 nanti.
“Kita akan bawa ke Dewan Negara dan perlu kelulusan Dewan Negara dan seterusnya perlu tunggu perwartaan.
“Selepas perwataan baru akan dikuatkuasakan, mungkin akan mengambil masa beberapa bulan lagi iaitu pada 1 Januari 2026,”katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas Perasmian Program Kemampanan Komuniti Bandar: Karnival Komuniti Madani di Program Perumahan Rakyat (PPR), Kota Bharu, di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.
Katanya kelulusan akta tersebut sekali gus memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap kesalahan pembuangan sampah termasuk pelaksanaan khidmat masyarakat sebagai pengajaran.
“Jadi kita menggalakkan masyarakat di luar sana untuk utamakan kebersihan. Jagalah kebersihan dan pada masa sama saya hendak mengingatkan kita sudah meminda Akta 672 yang memasukkan bahawa buang sampah walau sekecil sampah termasuk puntung rokok atau kertas juga adalah kesalahan besar.
“Boleh dikenakan denda RM2,000 hingga RM10,000 dan pada masa sama mahkamah boleh mengarahkan perintah khidmat masyarakat pesalah membuang sampah,”katanya.
Sehubungan itu KPKT menyeru seluruh rakyat Malaysia agar membudayakan kebersihan, tidak membuang sampah di tempat awam serta bersama-sama menyokong pelaksanaan ekonomi kitaran demi kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan negara.
IMedikel TV






