BANDUNG: Sebanyak 32 sekolah rendah dan menengah di sini, diwajibkan melaksanakan sesi Pembelajaran Jarak Jauh (PJJ) hari ini, lapor portal Kompas.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Datuk Bandar Bandung Muhammad Farhan berkata, keputusan itu diambil sebagai langkah pencegahan bagi memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) berjalan lancar tanpa gangguan terutama bagi mengelak berulangnya aksi demonstrasi.
“Sebanyak 32 sekolah diwajibkan melaksanakan PJJ, manakala selebihnya diberi pilihan sama ada mahu melaksanakannya atau meneruskan sesi pembelajaran secara bersemuka,” katanya di Dewan Bandaraya Bandung, Jalan Wastukencana di sini, semalam.
Muhammad Farhan menambah, pihaknya juga sudah mengeluarkan surat pekeliling kepada semua sekolah supaya memastikan pelajar tidak keluar rumah sepanjang PJJ.
Sementara itu, pelajar yang mengikuti kelas secara bersemuka diwajibkan pulang terus ke rumah sejurus tamat waktu persekolahan.
Katanya, kawalan keselamatan di sekitar sekolah juga akan diperketatkan dengan pihak polis dan tentera melakukan rondaan berkala di kawasan masing-masing terutama yang menempatkan institusi pendidikan.
Selain peraturan untuk sekolah, dasar membabitkan penjawat awam atau ASN turut dibincangkan.
Muhammad Farhan menjelaskan, penjawat awam tidak dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) dan semua kakitangan perlu bertugas seperti biasa khususnya yang terbabit dalam urusan perkhidmatan awam.
“ASN tetap masuk kerja. Tiada BDR. Perkhidmatan awam mesti berjalan seperti biasa supaya urusan masyarakat tidak terganggu,” jelasnya.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat ada pelajar terbabit dalam aksi tunjuk perasaan sebelum ini.
Justeru, beliau menegaskan peranan ibu bapa amat penting ketika ini.
“Kami menyeru ibu bapa supaya memastikan anak-anak mereka tidak keluar tanpa tujuan selepas waktu persekolahan terutama selepas 4 petang,” katanya. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






